Malaysia-Nepal Runding Status Kematian Mangsa Banjir Hilang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang berunding dengan Nepal bagi menentukan status kematian rakyat Malaysia yang masih hilang susulan banjir besar di negara itu, selepas tempoh anggapan kematian dipendekkan daripada 12 tahun kepada hanya 45 hari.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata ordinan baharu yang diluluskan Presiden Nepal, Ram Chandra Poudel, membolehkan mangsa bencana yang gagal dikesan diisytiharkan meninggal dunia selepas tempoh berkenaan.

Beliau berkata, tempoh 45 hari itu bermula pada 26 Ogos lalu, iaitu tarikh bencana, dan berakhir pada 9 Oktober.

Katanya, kerajaan telah memantau perkembangan kes berkenaan selama 70 hari sebelum memulakan rundingan dengan pihak Nepal bagi mendapatkan senarai mangsa yang boleh diisytiharkan meninggal dunia mengikut ordinan terbabit.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Lukanisman menegaskan kepentingan rakyat Malaysia di luar negara mendaftar menerusi sistem e-Konsular bagi memudahkan Wisma Putra menyalurkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan.

Katanya, kerajaan turut menyediakan Kumpulan Wang Amanah Rakyat bagi membantu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan atau terperangkap dalam sindiket di luar negara, termasuk membiayai kos tertentu untuk menyelamatkan dan membawa mereka pulang.

Bagaimanapun, kerajaan tidak akan menanggung kos perundangan atau perbelanjaan individu yang didapati melakukan kesalahan di negara berkenaan.

Mengulas penahanan 130 rakyat Malaysia di Pakistan yang dikaitkan dengan penipuan siber, beliau berkata wakil Malaysia memastikan kebajikan mereka terjaga, termasuk bekalan makanan, minuman dan kesihatan.

Kerajaan turut menawarkan bantuan guaman, namun tidak menyediakan bantuan kewangan kepada individu yang disahkan melakukan kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles