ADUN Bersatu Pulau Pinang Sudah ‘Dijinakkan’ DAP?

GEORGE TOWN: Pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Pulau Pinang berhubung kemungkinan rundingan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan negeri pimpinan DAP dipersoalkan.

Penyelaras Pemuda WAWASAN Negeri Pulau Pinang, Ahmad Zaki Zainul berkata, penjelasan perlu diberikan berikutan tindakan Ahli Parlimen Bersatu menandatangani CSA dengan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH), Khamis lalu.

Menurutnya, kerajaan PH Selangor juga dilaporkan sedang dalam proses memuktamadkan rundingan CSA dengan ADUN Bersatu di negeri berkenaan.

Katanya, perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada Bersatu Pulau Pinang turut mengadakan rundingan dengan DAP, lebih-lebih lagi apabila ADUN parti itu didakwa semakin mesra dengan kerajaan negeri.

“Rakyat mahu kepastian sama ada terdapat sebarang rundingan antara Bersatu dengan DAP Pulau Pinang.

“Persoalan ini semakin ketara apabila ADUN Bersatu yang membahaskan Belanjawan Negeri 2027 di DUN Pulau Pinang semalam dilihat begitu lunak terhadap kerajaan negeri dan tidak menunjukkan bangkangan keras bagi membela rintihan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau mendakwa keadaan itu seolah-olah menggambarkan ADUN Bersatu sudah ‘dijinakkan’ oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Ahmad Zaki berkata, rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar ADUN Bersatu di negeri itu, termasuk sama ada mereka akan mengikut langkah kepimpinan parti yang bersetuju menandatangani CSA dengan kerajaan PH.

Menurutnya, mandat diberikan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu adalah untuk membawa perubahan dan menolak DAP di kawasan yang ditandingi Bersatu.

“Jika Bersatu Pulau Pinang menandatangani CSA dengan kerajaan DAP, tindakan itu adalah satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles