KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti keperluan penstrukturan semula model perniagaan dan organisasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdasarkan cabaran operasi, kedudukan kewangan serta perkembangan industri rel negara.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penilaian itu akan mengambil kira keberkesanan inisiatif penambahbaikan yang sedang dilaksanakan KTMB bagi memastikan syarikat berkenaan kekal mampan dan berdaya saing.
Beliau berkata antara langkah yang dilaksanakan ialah transformasi operasi dan penyelenggaraan aset menerusi peningkatan kebolehpercayaan lokomotif, tren serta infrastruktur rel.
“Ini termasuk pelaksanaan Rolling Stock Strategy (RSS) bagi memperkukuh kapasiti pengangkutan penumpang dan kargo serta menyokong inisiatif peralihan pengangkutan barangan daripada jalan raya kepada rel (Road-to-Rail),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada kerajaan bercadang merombak model perniagaan dan melakukan penstrukturan semula KTMB susulan masalah teknikal, kakitangan serta daya saing syarikat itu sejak kebelakangan ini.
Anthony berkata KTMB turut memperkukuh model perniagaan dan kedudukan kewangan melalui pengoptimuman operasi, peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta peluasan kerjasama strategik.
Selain itu, katanya, pendigitalan perkhidmatan dilaksanakan menerusi penambahbaikan sistem tiket, aplikasi KITS Style dan penggunaan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mutu perkhidmatan kepada pengguna.
“Kerajaan melalui KTMB sentiasa menilai keperluan penambahbaikan model perniagaan dan struktur operasi syarikat bagi memastikan KTMB kekal mampan, berdaya saing serta mampu memberikan perkhidmatan pengangkutan rel yang cekap dan berkualiti kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata pembangunan modal insan dan pengukuhan tadbir urus turut diberi perhatian melalui peningkatan kompetensi serta kemahiran warga kerja dan penambahbaikan pengurusan organisasi.
Katanya, langkah itu bertujuan memperkukuh kecekapan dan produktiviti syarikat sekali gus memastikan KTMB terus berupaya memenuhi keperluan pengangkutan rakyat.










