AGC Pulangkan Kertas Siasatan Kes MB N. Sembilan Kepada Polis Untuk Tindakan Lanjut

KUALA LUMPUR: Polis perlu melengkapkan beberapa tindakan siasatan sebelum Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat keputusan berhubung laporan polis dikemukakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

AGC dalam kenyataan memaklumkan, kertas siasatan berhubung insiden membabitkan Ismaildikembalikan kepada polis untuk tindakan lanjut selepas penelitian mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu diselesaikan.

Menurut kenyataan itu, kertas siasatan berkenaan diterima daripada polis pada 30 Oktober lalu sebelum diteliti pihak pendakwaan.

“Hasil penelitian menyeluruh mendapati beberapa tindakan lanjut perlu dilaksanakan pegawai penyiasat sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.

“Oleh yang demikian, kertas siasatan dikembalikan semula kepada polis hari ini untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan berkaitan ugutan jenayah.

Kontroversi itu tercetus pada 5 September lalu apabila empat Undang, termasuk yang terlibat dalam pertikaian berkenaan, mendakwa Ismail menandatangani Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ismail pada awalnya enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, sebaliknya menegaskan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan semakin memuncak apabila beberapa Undang mengemukakan dokumen yang didakwa ditandatangani Ismail dalam satu sidang media.

Ismail kemudian mendakwa tandatangannya diperoleh secara paksaan selain menegaskan surat pengisytiharan berkenaan tidak sah sebelum membuat laporan polis pada 8 September lalu.

Namun, beliau kemudiannya menyatakan sokongan terhadap kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengumumkan penurunan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles