KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan rakyat supaya tidak panik berhubung perkembangan situasi global ketika ini, sebaliknya meneruskan aktiviti harian seperti biasa dengan sentiasa berwaspada.
Beliau berkata, kerajaan sedang memantau keadaan semasa dan menggerakkan semua jabatan serta agensi bagi memastikan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas negara mencukupi.
“Lebih baik kita hebahkan, dedahkan di Dewan Rakyat ini supaya rakyat tahu. Jangan panik. Semua jabatan dan agensi bergerak setiap hari sekarang, dari semalam, hari ini untuk memastikan bekalan ubat, makanan semua cukup.
“Dan yang pentingnya keselamatan siber dan soal digital dan teknologi kita juga dipantau,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sebelum ini, laporan media antarabangsa menyebut sekurang-kurangnya 33 negara mengeluarkan panduan kesiapsiagaan kepada rakyat masing-masing supaya menyediakan bekalan makanan, air dan barangan keperluan asas bagi menghadapi kemungkinan kecemasan. Kebanyakan panduan itu menyarankan isi rumah mempunyai bekalan sekurang-kurangnya untuk tempoh 72 jam.
Anwar berkata, pemantauan turut diselaraskan menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk bagi memastikan sebarang gangguan membabitkan aspek digital dan teknologi dapat dikenal pasti serta ditangani segera.
Menurutnya, rakyat perlu meneruskan urusan harian seperti biasa, namun tidak mengambil mudah sebarang maklumat mengenai kemungkinan pencerobohan atau gangguan.
“Maknanya jalan tetapi harus waspada. Kalau ada apa-apa maklumat ataupun pencerobohan ataupun gangguan dari segi digital dan teknologi, ini harus dimaklumkan segera.
“Tapi saya fikir kalau kita panik, itu akan melemahkan kekuatan kita,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga bersedia mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri lebih awal sekiranya keadaan mendesak, tanpa perlu menunggu mesyuarat yang dijadualkan pada Jumaat.
Katanya, perkembangan semasa akan terus dipantau setiap hari bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut keperluan.
Dalam perkembangan lain, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Hassan Abdul Karim mengenai kemungkinan peningkatan penyeludupan dadah berpunca daripada pemansuhan hukuman mati mandatori bagi kesalahan tertentu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Anwar berkata perkara itu belum dapat dipastikan.
Sebaliknya, beliau berpandangan kelemahan kawalan sempadan darat, laut dan udara turut menjadi cabaran utama yang perlu ditangani kerajaan.
“Apakah kerana kita kurang hukuman gantung, putuskan meniadakan hukuman gantung menyebabkan (penyeludupan meningkat), belum dapat dipastikan, Pasir Gudang.
“Sebab sebenarnya sempadan kita itu agak bolos, laut dan darat dan sekarang udara. Sebab itu kita perkukuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebab kita tahu penyeludupan itu besar,” katanya.
Beliau berkata, undang-undang sedia ada berkaitan dadah sudah cukup ketat, namun aspek penguatkuasaan perlu diperkukuh bagi membendung kegiatan pengedaran dan penyeludupan.
“Kalau ditanya saya apakah soal undang-undang, saya fikir undang-undang cukup ketat tetapi penguatkuasaan itu harus lebih kuat,” katanya.
Anwar turut menegaskan kerajaan akan terus mengambil tindakan tegas tanpa memilih bulu terhadap kegiatan jenayah, termasuk pengedaran dadah dan perjudian dalam talian yang membabitkan kumpulan haram.
Mengenai pengukuhan AKPS, beliau berkata peruntukan kepada agensi itu ditingkatkan daripada RM20 juta tahun lalu kepada RM490 juta tahun ini.
Beliau turut menjelaskan penempatan pegawai daripada agensi seperti Kastam, Imigresen, Kesihatan, Maritim dan Polis ke AKPS tertakluk kepada proses serta tawaran perjawatan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).










