Ab Rauf Jawab Kritikan Rafizi, Bangkit Kejayaan Tarik Pelaburan RM14.8 Bilion

PENGKALAN BATU: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menepis kritikan Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung kedudukan kewangan dan perbelanjaan kerajaan negeri bagi tempoh 2021 hingga 2024, sambil menegaskan pentadbirannya berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM14.8 bilion.

Beliau menyifatkan kritikan pembangkang sebagai usaha mencari pelbagai alasan untuk memperlekeh keupayaan kerajaan negeri, selain mempersoalkan sumber maklumat yang digunakan Rafizi dalam membuat penilaian berkenaan.

Menurutnya, rekod pentadbiran sepanjang tempoh beliau menerajui Melaka membuktikan negeri itu berjaya mencatat pencapaian pelaburan terbesar dalam sejarahnya.

“Saya tak tahu dari mana maklumat itu didapati. Saya tak nak komen kerana kalau kita lihat pada sudut pandangan mereka, memang dia akan mencari 1,001 alasan untuk merendahkan keupayaan kerajaan negeri.

“Sedangkan sepanjang tempoh saya mengurus tadbir negeri, kita buat pertama kalinya menerima pelaburan terbesar dalam negeri Melaka iaitu RM14.8 bilion,” katanya selepas melawat Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) N15 Pengkalan Batu, pagi ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood.

Ab Rauf turut menegaskan kedudukan kewangan kerajaan negeri tidak menunjukkan perbelanjaan melebihi pendapatan, sekali gus mempertahankan pengurusan kewangan pentadbirannya daripada dakwaan yang dibangkitkan.

Mengulas isu projek pembangunan bermasalah pula, beliau menjelaskan sebahagiannya merupakan projek yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu dan kini sedang melalui proses penambahbaikan.

Malah, katanya, terdapat juga projek bermasalah yang berada di bawah penyelarasan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, dengan urusan pelaksanaan dan pemantauan kontraktor dikendalikan pihak Persekutuan.

“Projek yang diberikan ini, pertama ada projek daripada kerajaan negeri yang saya warisi untuk saya betulkan sekarang.

“Kedua, projek-projek yang berstatus masalah ini kebanyakannya projek daripada ICU, Persekutuan. Jadi latihan kontraktor, penyerahan kerja dan pengawalan semuanya daripada pihak Persekutuan.

“Saya tahu dan sedang berusaha untuk mempertingkatkan semula projek-projek ini. Insya-Allah, kalau Allah SWT memberikan saya keizinan, salah satu perkara yang saya nak lakukan ialah membetulkan apa yang saya warisi untuk rakyat Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat untuk menilai prestasi dan rekod pentadbirannya, selain tidak terkesan dengan kritikan pihak lawan.

“Saya tak kisahlah apa yang dia nak cakap. Bagi saya kata orang Melayu, nak tahu baik orang tanya kawan dia, nak tahu jahat orang tanya musuh dia. Jadi faham-fahamlah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles