Dakwaan RM9.5 Juta Kepada Ramanan: Rafizi Beri Keterangan Di Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hadir di Bukit Aman pagi ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan serta isu mafia korporat yang dibangkitkannya dalam satu ceramah politik.

Rafizi tiba kira-kira jam 10.57 pagi dengan diiringi tiga peguamnya, Nik Zarith Nik Mustapha, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Wan Ahmad Qushairi Adzmi.

Beliau berkata, keterangannya diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan susulan ucapan yang disampaikannya di Selayang pada 20 Oktober lalu.

Menurutnya, notis polis yang diterima secara khusus menyatakan siasatan berkaitan dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Ramanan serta kenyataannya mengenai mafia korporat.

“Saya dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan berhubung satu ceramah yang disampaikan di Selayang pada 20 Okt lalu.

“Notis polis itu menyebut dengan jelaslah bersabit dakwaan RM9.5 juta yang dituduh diberikan kepada Ramanan dan juga ucapan berkaitan dengan mafia korporat,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi kesalahan fitnah jenayah, manakala Seksyen 505 berkaitan kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

Rafizi berkata, beliau akan memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang proses rakaman keterangan dan menyerahkan sebarang perkembangan lanjut kepada pihak berkuasa.

“Jadi saya akan masuk bagi keterangan dan selepas keterangan itu sebarang perkembangan kena tanya polis,” katanya.

Menerusi kenyataan di Facebook semalam, Rafizi memaklumkan siasatan berkenaan dijalankan susulan satu laporan polis yang diterima pada 22 Oktober lalu.

Beliau turut menjelaskan bahawa notis polis menyenaraikan beberapa dakwaan yang dibangkitkan dalam ceramah terbabit, termasuk isu pembayaran RM9.5 juta kepada Ramanan.

Susulan itu, Rafizi memaklumkan kesediaannya untuk hadir memberikan keterangan walaupun terpaksa membatalkan program kempen di Melaka yang dijadualkan berlangsung hari ini.

BBerkaitan

Latest articles