Kos Pembinaan ECRL RM52.43 Bilion, Hasil Operasi Dijangka Cecah RM418 Juta Pada 2029

KUALA LUMPUR: Kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi jajaran sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang berjumlah RM52.43 bilion.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembiayaan projek itu melibatkan beberapa sumber termasuk pinjaman berjangka daripada China EXIM Bank (CEXIM), sukuk Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), peruntukan pembangunan Kementerian Pengangkutan serta pembiayaan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, komitmen pembiayaan projek dilaksanakan berdasarkan struktur dan jadual pembiayaan yang ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta penjelasan mengenai kos penuh pembinaan ECRL, komitmen bayaran tahunan kerajaan, anggaran pendapatan operasi serta langkah memastikan kelestarian kos operasinya.

Mengulas mengenai unjuran pendapatan, Anthony berkata, berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh juruperunding pada 2025, hasil perkhidmatan penumpang ECRL diunjurkan sebanyak RM192 juta pada 2027, RM198 juta (2028) dan RM204 juta (2029).

Katanya, hasil perkhidmatan kargo pula dijangka sebanyak RM68 juta pada 2027, RM71 juta (2028) dan RM214 juta (2029).

Ini menjadikan jumlah unjuran hasil daripada kedua-dua perkhidmatan itu sebanyak RM260 juta pada 2027, RM269 juta (2028) dan RM418 juta pada 2029.

“Unjuran ini tertakluk kepada prestasi sebenar operasi, termasuk jumlah penumpang, jumlah kargo dan perkembangan permintaan pasaran,” katanya.

Menurutnya, model perniagaan ECRL dalam jangka panjang berasaskan gabungan pendapatan daripada perkhidmatan kargo dan penumpang dengan kira-kira 70 peratus hasil dijangka disumbangkan perkhidmatan kargo, manakala 30 peratus lagi daripada penumpang.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan ECRL memanfaatkan permintaan perjalanan penumpang selain potensi pergerakan barangan antara Pantai Timur dan Pantai Barat serta akses kepada pelabuhan utama negara.

Bagi memastikan kelestarian operasi, Anthony berkata, hasil perkhidmatan penumpang dan kargo akan digunakan untuk menampung kos operasi, penyelenggaraan serta perbelanjaan berkaitan.

“Pada masa sama, ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB) selaku pengendali akan mengoptimumkan sumber hasil bukan tambang melalui aktiviti komersial seperti sewaan ruang, pengiklanan dan sumber lain yang bersesuaian,” katanya.

Tambahnya, EOSB merupakan syarikat usaha sama antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) dengan pegangan ekuiti masing-masing sebanyak 50 peratus.

Menurut Anthony, model usaha sama itu turut membabitkan perkongsian risiko operasi antara kedua-dua pemegang saham sekali gus mewujudkan kepentingan bersama untuk meningkatkan hasil, mengoptimumkan penggunaan aset serta mengurus kos operasi secara berhemah.

Beliau berkata, penilaian terhadap ECRL sebagai projek infrastruktur strategik berskala besar tidak hanya tertumpu kepada pulangan kewangan langsung, sebaliknya turut mengambil kira manfaat jangka panjang serta kesan limpahan ekonomi kepada negara.

BBerkaitan

Latest articles