KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India terhadap pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan rasmi terdahulu daripada kerajaan India diterima pada 19 Januari 2018.
Menurutnya, Malaysia turut menerima nota diplomatik daripada kerajaan India pada 29 Mei 2020 yang memohon supaya perkara itu dipertimbangkan semula.
“Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India. Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai status terkini permohonan ekstradisi Zakir Naik, tarikh permohonan rasmi terakhir diterima serta pematuhan dokumen dan keterangan kepada Akta Ekstradisi 1992 dan perjanjian Malaysia-India.
Saifuddin berkata, keputusan tidak mengekstradisi pendakwah itu dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani bersama kerajaan India pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan tidak memberikan sebarang komitmen kepada India untuk menyerahkan Zakir Naik melalui proses ekstradisi.










