Tolak Kerjasama Dengan Parti Semenanjung, GPS Tanding Solo PRN Sarawak

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menutup pintu kepada sebarang bentuk pakatan pilihan raya dengan parti politik dari Semenanjung Malaysia, sebaliknya memilih untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Jurucakap GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, gabungan itu tidak akan mempertimbangkan sebarang cadangan kerjasama daripada parti luar kerana landskap politik Sarawak mempunyai dinamik tersendiri yang berbeza daripada politik di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini sudah menegaskan pendirian gabungan itu untuk bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Justeru, GPS akan bertanding secara bersendirian. Jika PKR mahu bekerjasama, sudah agak terlambat untuk berbuat demikian.

“Kami akan tetap menganggap anda sebagai pembangkang,” katanya seperti dipetik Dayak Daily.

Abdul Karim berkata, pendirian itu bukan hanya terpakai kepada PKR, malah turut melibatkan parti lain dari Semenanjung seperti DAP, PAS, Bersatu dan Amanah.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut mempersoalkan keperluan Sarawak bergantung kepada parti politik yang berpusat di Malaysia Barat dalam menentukan hala tuju negeri itu.

Katanya, kerjasama dengan parti dari Semenanjung berpotensi menyebabkan keputusan penting berkaitan Sarawak perlu melalui kepimpinan nasional, sekali gus tidak menepati prinsip autonomi politik yang diperjuangkan GPS.

“Itu bukan bentuk kerjasama yang kami mahukan. Mengapa kita perlu melalui pelbagai peringkat sedemikian sedangkan kita mempunyai parti-parti Sarawak sendiri yang boleh membuat keputusan di sini demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat?” katanya.

DUN Sarawak dibubarkan pada 26 Oktober lalu, sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-13 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.

BBerkaitan

Latest articles