Ayam Diragui Status Halal: MEH Mahu Nama Pengusaha, Premis Didedahkan

KUALA LUMPUR: Pendedahan nama pengusaha serta senarai penuh premis yang menerima bekalan ayam daripada rumah penyembelihan di Puchong yang disita baru-baru ini perlu dilakukan segera bagi melindungi hak pengguna Islam dan mengelakkan penularan produk diragui status halalnya.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, tindakan itu penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem halal negara, khususnya dalam rantaian bekalan makanan.

Beliau berkata, MEH memandang serius pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berhubung penyitaan lebih 6.5 tan ayam mentah di sebuah rumah penyembelihan di Puchong yang tidak tersenarai dalam rekod pemantauan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Lebih membimbangkan, siasatan awal mendapati premis berkenaan menggunakan kaedah renjatan elektrik antara 60 hingga 130 volt, jauh melebihi had bawah 10 volt yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sehingga menyebabkan ayam mati sebelum proses penyembelihan dilakukan.

“Ini bermakna ia adalah menyembelih bangkai, bukan menyembelih ayam hidup sebagaimana dituntut syarak,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Helmi, semua rumah penyembelihan ayam dan lembu yang membekalkan daging kepada pasaran umum, termasuk restoran, kedai runcit, pasar raya dan medan selera, perlu diwajibkan memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) JAKIM yang sah dan masih berkuat kuasa.

Katanya, pengecualian hanya diberikan kepada rumah penyembelihan babi.

MEH turut menyifatkan operasi rumah penyembelihan berkenaan selama lebih 20 tahun sejak 2004 tanpa sijil halal, selain membekalkan ayam ke beberapa kawasan termasuk Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana dan Putrajaya, sebagai petunjuk wujud kelemahan serius dalam mekanisme penguatkuasaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadikan pemilikan sijil halal JAKIM sebagai syarat wajib sebelum lesen perniagaan rumah penyembelihan diluluskan.

“MEH menggesa syarat sijil halal JAKIM diwajibkan sebagai prasyarat lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan,” tegasnya.

Helmi berkata, isu berkenaan akan turut dibawa sebagai agenda reformasi utama dalam Kongres Inovasi Halal Malaysia (KIHM) 2027 anjuran MEH bagi memperkukuh sistem pemantauan dan penguatkuasaan halal negara.

BBerkaitan

Latest articles