Mufti Menk Ziarah Tun M, Gelar Allahyarham Dr Hasmah ‘Ibu Kita’

KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal, Mufti Menk menzahirkan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali apabila mengunjungi suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi menyampaikan ucapan takziah atas pemergian tokoh berkenaan.

Menerusi satu hantaran di Threads, pemilik akaun Sulaiman an-Nuuri berkongsi bahawa Mufti Menk menyifatkan Allahyarham Dr Hasmah sebagai ‘our mother’ (ibu kita) ketika menyampaikan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri itu.

Lebih menyentuh hati, pendakwah kelahiran Zimbabwe itu turut berkongsi hadis mengenai seorang lelaki yang mendapat keampunan Allah SWT selepas melakukan kebaikan dengan memberikan air kepada seekor anjing yang kehausan.

Menurut perkongsian itu, Mufti Menk menjelaskan kisah berkenaan sebagai peringatan bahawa setiap manusia sentiasa diberikan peluang untuk melakukan kebaikan, bukan sahaja terhadap haiwan, malah sesama manusia tanpa mengira latar belakang.

Beliau turut mengaitkan pengajaran hadis itu dengan sumbangan serta jasa Allahyarham Dr Hasmah kepada negara dan ummah yang disifatkan cukup besar.

Sehubungan itu, Mufti Menk mendoakan agar segala amal kebaikan Allahyarham diterima Allah SWT serta dikurniakan syurga tertinggi sebagai ganjaran atas segala jasa dan pengorbanannya.

Untuk rekod, Mufti Menk berada di ibu negara bagi menyampaikan ceramah perdana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

BBerkaitan

Latest articles