KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menegaskan tidak akan menyertai sebarang perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan bagi mendapatkan peruntukan, sekali gus menjauhkan gabungan itu daripada langkah enam Ahli Parlimen Bersatu yang memeterai perjanjian berkenaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tindakan diketuai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dibuat atas kapasiti individu dan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan secara rasmi oleh gabungan berkenaan.
Malah, katanya, langkah itu turut mengetepikan PN sebagai gabungan parti dan blok pembangkang kerana perundingan serta pemeteraian CSA berkenaan berlangsung tanpa penglibatan PN.
Beliau berkata, keputusan menyertai perjanjian itu adalah hak setiap Ahli Parlimen terbabit dan tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi gabungan.
Menurutnya, kumpulan yang menyertai CSA itu terdiri daripada Ahli Parlimen Bersatu, bekas anggota Bersatu yang tidak lagi bersama parti berkenaan serta wakil Muda.
“CSA itu adalah pilihan mereka sendiri sebagai Ahli Parlimen.
“Jadi, PN tidak terlibat dalam perundingan dan pemeteraian itu. Kami tidak terlibat,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Khamis lalu, enam Ahli Parlimen Bersatu memeterai CSA dengan kerajaan dengan menetapkan dua tuntutan utama sebagai timbal balik kepada sokongan mereka terhadap Belanjawan 2027.
Antara tuntutan berkenaan ialah mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri serta memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin turut menjelaskan bahawa penggunaan logo parti komponen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tertakluk kepada kelulusan PN seperti diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan itu.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan logo Bersatu dalam PRN berkenaan setakat ini tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PN, sekali gus belum mendapat kebenaran gabungan.
Beliau berkata, perlembagaan PN sememangnya memberi ruang kepada parti komponen menggunakan logo masing-masing, namun ia perlu mendapat persetujuan gabungan terlebih dahulu.
“Dalam Perlembagaan PN, setiap parti anggota boleh menggunakan logo sendiri dengan kebenaran daripada PN.
“Tetapi, Bersatu setakat ini penggunaan logo mereka sendiri tidak dimaklumkan secara rasmi kepada PN. Jadi, tanpa kebenaranlah,” katanya.










