KUALA LUMPUR: Perubahan sentimen masyarakat Cina terhadap MCA yang semakin positif, termasuk berdasarkan perkembangan sokongan dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN), dilihat sebagai petunjuk bahawa parti itu mempunyai ruang untuk membina semula keyakinan pengundi.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata perkembangan keputusan PRN di Johor dan Negeri Sembilan, selain Sabah, menunjukkan peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap parti itu.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan MCA supaya tidak terlalu selesa dengan perkembangan berkenaan, sebaliknya perlu meneruskan usaha memperkukuh parti dan mendapatkan semula kepercayaan masyarakat Cina secara konsisten.
Menurutnya, perubahan sentimen pengundi itu turut memperlihatkan peningkatan rasa kecewa sebahagian masyarakat Cina terhadap DAP, seperti yang pernah disuarakannya sejak satu hingga dua tahun lalu.
Neow berkata, MCA bagaimanapun tidak boleh hanya bergantung kepada pencapaian pilihan raya lalu kerana parti itu akan mendepani beberapa siri pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, usaha membina semula kekuatan parti perlu diteruskan dengan mengambil kira perubahan corak pemikiran masyarakat Cina yang kini semakin objektif dalam menilai sesebuah parti politik.
Menurutnya, pengundi tidak lagi membuat pilihan berdasarkan kecenderungan terhadap sesuatu parti semata-mata, sebaliknya turut menilai keberkesanan khidmat di peringkat akar umbi serta kemampuan wakil rakyat memperjuangkan kepentingan dan menyuarakan aspirasi mereka.
“Pengundi sekarang lebih objektif. Mereka melihat pelbagai sudut termasuk perkhidmatan di akar umbi dan bagaimana seseorang wakil rakyat mampu menyuarakan hasrat rakyat, khususnya berkaitan kepentingan masyarakat Cina.
“Jadi, MCA perlu konsisten dalam usaha ini dan meneruskan agenda pembaharuan parti,” katanya dalam satu temubual bersama The Rakyat Insight, baru-baru ini.
Pada PRN Melaka yang akan diadakan 14 November depan, MCA bakal mempertaruhkan empat calonnya di kerusi DUN Kota Laksamana, Banda Hilir, Kelebang dan Machap Jaya.
MCA sebelum ini berdepan kemelut pembahagian kerusi selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan hanya dua calon daripada parti itu bertanding pada PRN Melaka.
Dalam pada itu, Neow menegaskan pendekatan mendekati golongan muda perlu menjadi antara keutamaan MCA memandangkan kelompok berkenaan merupakan segmen penting yang bakal menentukan hala tuju politik negara pada masa hadapan.
Katanya, peningkatan jumlah pengundi muda setiap tahun menuntut parti politik supaya lebih terbuka dan proaktif menyesuaikan pendekatan komunikasi bagi memastikan suara serta perjuangan mereka mendapat perhatian.
Sehubungan itu, MCA memberi penekanan terhadap penggunaan platform digital dan media sosial sebagai saluran utama untuk mendekati masyarakat, khususnya golongan muda.
Beliau berkata, pengaruh media sosial kini tidak lagi terhad kepada golongan muda, malah turut menjadi medium penting bagi masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk mendapatkan maklumat dan mengikuti perkembangan semasa.
“Usaha yang kita lakukan sejak dua hingga tiga tahun lalu berada pada landasan yang betul apabila semakin ramai pemimpin muda MCA memanfaatkan platform digital untuk mendekati rakyat dan menjadi suara mereka.
“Kita akan terus memperkukuh pendekatan ini serta melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.










