Rakyat Melaka Tahu Apa BN Sudah Lakukan – Ab Rauf

HANG TUAH JAYA: Barisan Nasional (BN) Melaka tidak perlu menyenaraikan satu-persatu pencapaian pentadbirannya untuk membuktikan keupayaan mengurus negeri itu, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat menilai sendiri segala usaha yang telah dilaksanakan sepanjang lima tahun lalu.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, rakyat negeri itu mengetahui sendiri apa yang telah dilakukan kerajaan negeri, justeru tidak perlu dipersoalkan setiap pencapaian seperti dibangkitkan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari yang mempersoalkan pencapaian pentadbiran BN meskipun diberikan mandat besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Saya tak nak ulas kerana beliau juga pernah jadi Ketua Menteri Melaka. Saya pun tak nak ulas masa dia jadi menteri apa dia buat.

“Jadi lebih baiklah kita cermin diri kita supaya kita tahu apa yang kita buat untuk rakyat. Saya ingat orang Melaka tahu apa yang kita buat, yang tak tahu dia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat Bilik Gerakan BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, hari ini.

Terdahulu, Adly menggesa BN menjelaskan pencapaian sepanjang diberikan mandat besar, bukannya sekadar mengharapkan rakyat terus memberikan kepercayaan tanpa mengambil kira keluhan dan masalah yang masih belum diselesaikan.

Menurutnya, mandat hampir 75 peratus kerusi DUN sepatutnya dimanfaatkan untuk menyelesaikan pelbagai isu rakyat, terutama membabitkan perumahan, kebajikan dan peluang pekerjaan.

Beliau turut membangkitkan masalah banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan serta penyelenggaraan kemudahan awam, termasuk di Melaka Sentral yang didakwa masih belum ditangani sepenuhnya.

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf mengingatkan jentera BN supaya memastikan kempen dijalankan secara berhemah tanpa terjebak dengan politik kebencian, hasutan dan fitnah.

Sebaliknya, beliau mahu seluruh jentera parti memberi tumpuan kepada rekod pelaksanaan serta perkara yang telah dinikmati rakyat sepanjang BN mentadbir negeri itu.

“Biar orang lain buat (amal politik kotor), kita hanya bercerita tentang apa yang telah kita laksanakan kepada rakyat dan apa yang rakyat dapat dalam kita menguruskan negeri ini selama lima tahun.

“Saya tengok rata-rata gambaran yang diberikan semalam oleh rakyat pada hari penamaan calon, dengan ribuan yang datang menyokong, menggambarkan semangat untuk kita kembali semula memerintah amat besar,” katanya.

Ab Rauf turut menegaskan BN bukan parti yang hanya muncul mendekati rakyat atau mengemukakan tawaran apabila tiba musim pilihan raya, sebaliknya kerja mendekati masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab sudah dimulakan lebih awal, bukan sekadar sepanjang tempoh kempen 14 hari.

BBerkaitan

Latest articles