Guan Eng Dakwa Binance Guna Mata Wang Romania Untuk Transaksi Ringgit

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyiasat Binance berhubung dakwaan penggunaan mata wang Leu Romania (RON) bagi meneruskan transaksi aset digital menggunakan Ringgit Malaysia (MYR) menerusi platform dagangan rakan ke rakan (P2P).

Beliau mendakwa, transaksi mata wang kripto USDT di platform Binance P2P kini ditawarkan menggunakan denominasi RON, namun syarat yang dipaparkan oleh sekurang-kurangnya seorang pedagang secara jelas menetapkan ‘MYR ONLY’, dengan pembayaran perlu dibuat melalui pindahan bank.

Dalam surat kepada Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi bertarikh 17 September 2026, Lim berkata perkembangan itu menunjukkan kemungkinan berulangnya tindakan mengelakkan sekatan pengawalseliaan yang pernah dikenakan terhadap Binance sebelum ini.

Menurutnya, SC dalam jawapan kepada Parlimen pada 1 Februari 2026 memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai penawaran transaksi menggunakan Ringgit melalui denominasi Kina Papua New Guinea (PGK) di platform Binance P2P.

Katanya, selepas SC berhubung dengan Binance, rujukan kepada MYR berkenaan telah dipadamkan daripada platform itu.

Lim berkata, kejadian terbaharu yang membabitkan RON mempunyai persamaan dengan insiden PGK sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kawalan pematuhan Binance.

“Turutan yang berlaku kini ialah MYR dipadamkan susulan tindakan SC, aktiviti MYR kemudian dikenal pasti melalui denominasi PGK sebelum rujukan berkenaan dibuang selepas campur tangan SC, manakala transaksi MYR kini kelihatan muncul semula melalui denominasi RON.

“Jika bukti itu disahkan, perkara ini tidak lagi boleh dianggap sebagai kesilapan teknikal terpencil,” katanya.

Tindakan penguatkuasaan terdahulu

Untuk rekod, SC mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Binance pada 2021 kerana beroperasi sebagai bursa aset digital tanpa berdaftar sebagai Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO).

Binance dan Ketua Pegawai Eksekutifnya ketika itu ditegur secara terbuka serta diarahkan menyahaktifkan laman web dan aplikasi syarikat itu di Malaysia, selain menghentikan aktiviti yang menyasarkan pelabur tempatan.

Lim berkata, Binance selepas itu mengumumkan penghentian pasangan dagangan MYR, pilihan pembayaran menggunakan Ringgit dan permohonan pedagang P2P bagi mematuhi peraturan Malaysia.

Beliau turut mempersoalkan keputusan SC mengeluarkan Binance daripada Senarai Amaran Pelabur pada 20 September 2024 selepas platform itu dinilai tidak lagi menjalankan aktiviti terkawal di Malaysia.

Katanya, perkembangan terbaharu itu memerlukan SC menilai semula sama ada Binance sebenarnya kembali memudahkan aktiviti transaksi MYR yang sebelum ini dikatakan telah dihentikan.

Risiko pengubahan wang haram

Selain isu pematuhan undang-undang pasaran modal, Lim turut membangkitkan risiko transaksi P2P berkenaan digunakan sebagai saluran pergerakan dana rentas sempadan tanpa pengawasan sewajarnya.

Beliau mendakwa transaksi yang membabitkan pihak lawan tidak dikenal pasti atau tidak dipantau secukupnya berisiko disalahgunakan untuk aktiviti pengubahan wang haram, penggunaan akaun keldai serta menyembunyikan sumber dan destinasi sebenar dana.

Menurutnya, bursa aset digital yang diluluskan di Malaysia tertakluk kepada keperluan antipengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AML/CFT), termasuk usaha wajar pelanggan, pemantauan transaksi, penyimpanan rekod dan pelaporan transaksi mencurigakan kepada pihak berkuasa.

“Platform luar pesisir tidak sepatutnya dibenarkan melemahkan perlindungan ini dengan membolehkan pengguna dan pedagang Malaysia meneruskan transaksi Ringgit kepada aset digital hanya dengan menggunakan kod mata wang negara lain sebagai label transaksi,” katanya.

Lima tuntutan kepada SC

Sehubungan itu, Lim mengemukakan beberapa tuntutan kepada SC, termasuk menyiasat pasaran dagangan USDT menggunakan denominasi RON di Binance P2P bagi menentukan sama ada ia digunakan untuk memudahkan transaksi MYR/USDT antara pengguna dan pedagang Malaysia.

Beliau turut meminta SC menentukan sama ada tindakan itu melanggar undang-undang sekuriti negara atau arahan pengawalseliaan terdahulu.

Sekiranya dakwaan itu disahkan, beliau menggesa SC mengenakan teguran awam terhadap Binance serta, jika memenuhi syarat perundangan, terhadap dua Ketua Pegawai Eksekutif Bersamanya, Richard Teng dan Yi He.

Antara tuntutan lain termasuk mengarahkan Binance menghentikan sebarang kaedah penggunaan kod mata wang asing sebagai pengganti MYR, mempertimbangkan sekatan akses serta tindakan penguatkuasaan lanjut, dan menyenaraikan semula platform itu dalam Senarai Amaran Pelabur.

Beliau turut meminta SC menyiasat serta mengambil tindakan terhadap setiap pedagang Malaysia yang memudahkan transaksi MYR/USDT melalui platform berkenaan.

Lim juga menggesa SC menerbitkan hasil siasatan dan menyelaras tindakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya terdapat petunjuk pergerakan dana rentas sempadan tanpa kebenaran atau aktiviti jenayah kewangan.

“Binance tidak sepatutnya lagi dibenarkan memperlakukan peraturan Malaysia seperti permainan kucing dan tikus,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles