KUALA LUMPUR: Ayam yang mati sebelum disembelih disifatkan sebagai bangkai dan tidak memenuhi syarat halal, sekali gus memerlukan dakwaan pelanggaran prosedur di sebuah pusat penyembelihan di Puchong disiasat secara menyeluruh.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata status berkenaan perlu dipastikan menerusi siasatan terhadap kaedah pengendalian dan punca kematian ayam terbabit.
Beliau berkata, haiwan yang halal dimakan wajib masih bernyawa ketika penyembelihan dilakukan mengikut ketetapan hukum syarak.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 6.5 tan ayam mentah disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan halal dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong, kelmarin.
Sirajuddin berkata, premis berkenaan juga disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa permit serta kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, premis yang tidak mempunyai lesen sah tidak layak memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), selain pusat berkenaan bukan pemegang sijil halal keluaran JAKIM.
Sehubungan itu, beliau menyerahkan tindakan lanjut kepada agensi penguatkuasaan berkaitan, termasuk menghentikan penjualan, mengasingkan stok serta menarik balik atau menyita bekalan ayam yang dikenal pasti sudah berada di pasaran.
Beliau menegaskan isu itu dipandang serius kerana bukan sahaja membabitkan pematuhan hukum syarak, malah kebersihan dan keyakinan pengguna terhadap bekalan ayam halal.










