KOTA BHARU: Mekanisme pemilihan calon pendakwa raya kini menjadi antara perkara yang sedang diteliti Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan cadangan pengasingan kuasa antara pendakwa raya dan peguam negara.
Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar, berkata penelitian itu merangkumi kaedah menentukan calon yang bakal mengisi jawatan pendakwa raya selepas pelaksanaan reformasi institusi berkenaan.
Menurutnya, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengasingan kedua-dua peranan itu sudah dibentangkan dan melalui proses perbincangan, termasuk di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC).
“Jika isu tentang calon, kita sedang meneliti satu peruntukan berkaitan dengan calon itu. Bagaimana kaedah-kaedah calon itu dipilih,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Sebelum ini, PSSC dijadual mengadakan mesyuarat semula selepas menerima maklum balas AGC berhubung cadangan pemisahan fungsi pendakwa raya dan peguam negara.
Pada 3 Mac lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan memisahkan kedua-dua jawatan itu dirujuk kepada PSSC untuk penelitian lanjut.
Menerusi kerangka yang dicadangkan, pendakwa raya akan diberi kuasa menyelia keseluruhan urusan pendakwaan jenayah, manakala peguam negara akan kekal sebagai penasihat undang-undang kerajaan bagi perkara selain undang-undang jenayah.
Mengikut cadangan itu juga, pendakwa raya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.










