Sultan Nazrin Ingatkan Pembesar Istana Jangan Salah Guna Pengaruh

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengingatkan golongan pembesar istana dan Ahli Dewan Negara Perak supaya menjaga integriti serta tidak menjadikan kedudukan mereka sebagai jalan untuk meraih kekayaan atau kepentingan sendiri.

Baginda bertitah, sebarang tindakan yang melibatkan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau campur tangan demi kepentingan tertentu perlu dielakkan kerana boleh menjejaskan kewibawaan institusi diraja.

Ketika mempengerusikan Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-175 di Istana Iskandariah, baginda turut mengingatkan mereka agar tidak terlibat dalam urusan di luar bidang tanggungjawab atau menggunakan pengaruh untuk memberi tekanan kepada pihak lain.

Sultan Nazrin juga menekankan kepentingan menjaga tutur kata, merahsiakan perkara yang diamanahkan serta memastikan kesahihan maklumat sebelum dikongsi, khususnya menerusi media sosial.

Baginda turut menyeru mereka supaya tidak terjebak dalam perebutan pengaruh dan perpecahan, sebaliknya memberi perhatian kepada masalah rakyat, terutama golongan yang memerlukan bantuan.

Selain menghormati kepelbagaian masyarakat, golongan berkenaan juga perlu memahami batas kuasa masing-masing dan menjalinkan kerjasama profesional dengan kerajaan negeri tanpa mencampuri urusan pentadbiran.

Baginda menegaskan penghormatan yang diterima perlu disertai tanggungjawab, integriti dan keupayaan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles