PETALING JAYA: SD Guthrie Berhad memeterai usaha sama strategik dengan Bumi Assets Sdn Bhd dan YTL Power International Berhad bagi membangunkan kira-kira 1,623 ekar tanah pegangan bebas di Bukit Kerayong, Selangor, sebagai kawasan perindustrian bersepadu.
Dalam kenyataan bersama pada 29 Oktober, ketiga-tiga syarikat itu memaklumkan pembangunan berkenaan akan dilaksanakan menerusi Bukit Kerayong Industrial Developments Sdn Bhd (BKID).
Guthrie akan memegang 30 peratus kepentingan ekuiti melalui anak syarikat milik penuhnya, SD Guthrie Land Ventures Sdn Bhd, manakala Bumi Assets memiliki 35 peratus.
Baki 35 peratus akan dipegang YTL Power melalui anak syarikat milik penuhnya, Bukit Kerayong Industrial Venture Sdn Bhd.
Sebagai sebahagian daripada urus niaga itu, Guthrie akan melupuskan tanah berkenaan kepada BKID pada harga kira-kira RM933.57 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad, berkata urus niaga itu menjadi pencapaian penting dalam merealisasikan nilai jangka panjang tanah strategik kumpulan, selain membuka peluang pertumbuhan ekonomi mampan di Selangor.
Menurutnya, lokasi Bukit Kerayong mempunyai potensi besar untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap pembangunan perindustrian dan logistik berkualiti tinggi.
Potensi itu disokong akses melalui Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), selain kedudukannya berhampiran Northport dan Westports di Pelabuhan Klang.
Sementara itu, wakil Bumi Assets, Datuk Seri Syed Budriz Putra Jamalullail, berkata pihaknya melihat Bukit Kerayong sebagai pelaburan jangka panjang dalam masa depan sektor perindustrian Selangor.
Beliau berkata pembangunan itu menyasarkan kemasukan perniagaan yang akan menubuhkan serta mengembangkan operasi, sekali gus mewujudkan pekerjaan dan peluang kepada perusahaan tempatan sepanjang rantaian bekalan.
Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong, pula berkata kerjasama tersebut menggabungkan kekuatan saling melengkapi bagi merealisasikan potensi pembangunan Bukit Kerayong.
Katanya, YTL Power membawa pengalaman dalam pembangunan dan pengoperasian infrastruktur tenaga, air, telekomunikasi serta digital, di samping keupayaan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan bagi menyokong pertumbuhan industri serta ekonomi digital negara.
Pembangunan yang dicadangkan itu akan merangkumi taman industri ringan hingga sederhana, dilengkapi komponen komersial dan infrastruktur sokongan.
Projek berkenaan dijangka merangsang aktiviti ekonomi, menjana peluang pekerjaan serta menyokong pertumbuhan komuniti sekitar.










