RM700 Juta Untuk Pengimbas, Mengapa Penyeludupan Masih Berlaku?

]KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan status operasi 69 pengimbas atau scanner yang dipasang di pelabuhan dan pintu masuk negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan, susulan laporan sebuah kapal berdaftar di Malaysia dipercayai terbabit dalam penyeludupan 1.16 tan ketamin.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan kemudahan keselamatan bernilai RM700 juta berkenaan masih berfungsi dan digunakan secara berkesan.

Beliau berkata, pemasangan 69 pengimbas itu diumumkan pada 2019 ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, kemudahan berkenaan merangkumi 55 pengimbas kargo bernilai RM12 juta setiap satu, selain lapan pengimbas bagasi dan enam pengimbas badan di lapangan terbang terpilih.

Rayer mempersoalkan bagaimana kegiatan penyeludupan dadah, rokok, minuman keras dan barangan lain masih berlaku sekiranya semua pengimbas berkenaan masih beroperasi.

“Persoalan saya adalah pertamanya, bolehkah kerajaan sekarang menjelaskan sama ada semua pengimbas tersebut masih lagi beroperasi?

“Keduanya, kalau masih lagi beroperasi, bagaimanakah aktiviti penyeludupan sama ada dadah, rokok, minuman keras dan lain-lain masih lagi berleluasa di pelabuhan di Malaysia?” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata, isu itu akan dibangkitkan ketika peringkat jawatankuasa membabitkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri.

Rayer berharap Menteri Dalam Negeri serta Menteri Kewangan atau Timbalan Menteri Kewangan dapat memberikan penjelasan mengenai status dan keberkesanan pengimbas berkenaan.

Menurutnya, perkara itu bukan sahaja membabitkan usaha membanteras penyeludupan, malah berkait rapat dengan keselamatan negara dan hasil pendapatan kerajaan.

Beliau berkata, pengimbas kargo berfungsi mengesan kandungan muatan yang diimport atau dieksport, sekali gus membantu pihak berkuasa mengesan dadah, senjata dan barangan seludup lain.

BBerkaitan

Latest articles