2.4 Juta Pelarian Perlukan Penempatan Semula, Sasaran Global Terancam

KUALA LUMPUR: Nasib kira-kira 2.4 juta pelarian yang memerlukan penempatan semula menjelang 2027 semakin membimbangkan apabila pengurangan kuota oleh negara penerima mengancam usaha mencapai sasaran global.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, perubahan dasar negara destinasi, penangguhan kemasukan, syarat lebih ketat serta tunggakan pemprosesan permohonan menjadi antara halangan utama kepada usaha berkenaan.

Menurut agensi itu, komuniti antarabangsa menetapkan sasaran sebanyak 130,000 kuota penempatan semula pada 2022 untuk dicapai menjelang 2027.

UNHCR menegaskan, penempatan semula merupakan mekanisme perlindungan penting, khususnya bagi pelarian yang berdepan ancaman keselamatan dan memerlukan perlindungan segera.

Golongan terbabit termasuk mangsa keganasan dan penyeksaan, wanita serta kanak-kanak berisiko, individu yang memerlukan rawatan perubatan serius dan mereka yang berhadapan ancaman terhadap keselamatan fizikal atau undang-undang.

Bagaimanapun, kurang satu peratus pelarian di seluruh dunia berjaya ditempatkan semula setiap tahun berikutan kekangan kuota yang ditentukan berdasarkan dasar negara penerima.

Sehubungan itu, UNHCR menggesa negara berkaitan meningkatkan komitmen bagi memastikan pelarian paling rentan tidak terus terpinggir daripada akses penempatan semula.

Isu itu turut memberi implikasi kepada Malaysia apabila kerajaan dilaporkan sedang menilai semula keperluan kehadiran UNHCR di negara ini, susulan persoalan mengenai keberkesanan agensi itu dalam membantu memindahkan pelarian ke negara ketiga.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum ini berpandangan peranan UNHCR kini tidak lagi berkesan seperti ketika mengendalikan pelarian Vietnam antara 1978 hingga 1990.

BBerkaitan

Latest articles