KUALA LUMPUR: Kesahihan warta kerajaan Negeri Sembilan berhubung pemecatan dua Undang dan seorang pemimpin adat serta pelantikan pengganti mereka dipertikaikan apabila Tunku Besar Tampin, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar bersama empat Undang mendakwa pewartaan itu tidak sah di sisi undang-undang.
Mereka mendakwa warta berkenaan bukan sahaja bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), malah didakwa dikeluarkan tanpa kelulusan sah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Dalam kenyataan bersama, mereka menegaskan pewartaan itu tidak mempunyai kesan undang-undang dan boleh mengelirukan masyarakat berhubung kedudukan serta pelantikan pemimpin adat di negeri berkenaan.
“Kami menegaskan warta tersebut adalah tidak sah, tiada kesan undang-undang dan bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta dibuat untuk mengelirukan masyarakat.
“Kami percaya warta tersebut juga telah dikeluarkan tanpa kelulusan yang sah daripada MMKN yang merupakan badan sah eksekutif negeri selaras Perkara 35 dan Perkara 40 UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Pertikaian berkenaan menyusul selepas warta kerajaan bertarikh 23 Oktober lalu dikeluarkan bagi memaklumkan pemberhentian tiga pemimpin adat serta pengiktirafan pengganti mereka.
Warta yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Raja Norazli Raja Nordin itu menyatakan keputusan pemberhentian berkenaan dibuat selaras dengan Perkara 16(1) UUTKNS 1959.
Menurut pewartaan itu, Mubarak Dohak diberhentikan daripada jawatan Undang Luak Sungai Ujong berkuat kuasa 13 Mei 2025, manakala Maarof Mat Rashad sebagai Undang Luak Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023.
Seorang lagi pemimpin adat, Badarudin Abdul Khalid, turut diberhentikan daripada jawatan Datuk Shahbandar Sungai Ujong berkuat kuasa 30 Julai lalu.
Pewartaan berkenaan dibuat dengan titah perintah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Selain pemecatan, warta sama turut mengisytiharkan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11.
Beliau dilaporkan telah mengangkat sumpah dan beraku janji pada 27 Jun lalu sebelum diperakukan dalam persidangan DKU pada 31 Julai, mengikut peruntukan Fasal 16(1) UUTKNS 1959.
Hassan Ab Hamid turut dimasyhurkan dan dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau selepas mengangkat sumpah serta beraku janji, selain diperakukan oleh DKU pada tarikh yang sama.
Bagaimanapun, pengiktirafan dan pemberhentian yang dinyatakan dalam warta itu kini menjadi pertikaian susulan dakwaan bahawa proses pewartaan tidak mematuhi peruntukan undang-undang negeri.
Dakwaan berhubung ketidaksahan warta itu dikemukakan oleh Tunku Besar Tampin bersama empat Undang berkenaan, yang mempersoalkan pematuhan prosedur serta keperluan mendapatkan kelulusan MMKN.










