Yes, Ryt Bank Taja FAM, Perkukuh Pembangunan Bola Sepak Negara

KUALA LUMPUR: Pembangunan bola sepak negara bakal menerima sokongan baharu apabila Yes dan Ryt Bank dilantik sebagai rakan penaja utama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kerjasama yang turut memberi tumpuan kepada penyokong dan komuniti.

Kerjasama menerusi inisiatif “Demi Bola Sepak Malaysia” itu merangkumi pelbagai program, termasuk pembangunan bola sepak belia, aktiviti komuniti, pengalaman hari perlawanan serta penghasilan kandungan digital.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata kerjasama itu diharap dapat memperkukuh ekosistem bola sepak tempatan, selain membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu.

Beliau berkata bola sepak menjadi kebanggaan negara yang menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang.

FAM turut mengalu-alukan penyertaan kedua-dua syarikat itu sebagai rakan penaja dalam usaha mendekatkan penyokong dengan sukan berkenaan serta memperluas peluang pembangunan pemain baharu.

Menerusi kerjasama itu, pelanggan Yes dijangka menikmati pelbagai tawaran berkaitan FAM, termasuk tiket perlawanan dan barangan edisi terhad.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan ketersediaan tawaran itu akan diumumkan kemudian.

Sementara itu, Ryt Bank akan menyokong penggunaan pembayaran digital bagi aktiviti sosial berkaitan bola sepak, termasuk sesi futsal dan perhimpunan penyokong pada hari perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee, berkata kerjasama berkenaan bukan sekadar penajaan, sebaliknya turut memberi penekanan kepada sokongan terhadap komuniti dan generasi baharu bola sepak negara.

Menurut kenyataan bersama itu, FAM, Yes dan Ryt Bank turut merancang memperkenalkan lebih banyak inisiatif dalam tempoh beberapa tahun akan datang, termasuk mengetengahkan bakat baharu serta individu yang menyumbang kepada pembangunan bola sepak di pelbagai peringkat.

BBerkaitan

Latest articles