KUALA LUMPUR: Sokongan tujuh Ahli Parlimen pembangkang kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini disertai syarat khusus apabila mereka memeterai perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) yang menuntut pelaksanaan beberapa reformasi penting sebelum penggal pentadbiran semasa berakhir.
Menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini, mereka menuntut kerajaan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum tamat penggal Parlimen.
Selain reformasi institusi, tujuh wakil rakyat itu turut menuntut peruntukan pembangunan kawasan yang setara dengan jumlah diterima Ahli Parlimen penyokong kerajaan.
Sebagai balasan, mereka bersetuju memberikan sokongan kepada pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal Parlimen, termasuk meluluskan Belanjawan 2027.
Perjanjian itu ditandatangani Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Penasihat Politik Kanan Perdana Menteri, Tengku Zafrul Aziz; serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang terbabit ialah Muhyiddin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Ali Biju (Saratok), Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Dr Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Azman Nasrudin (Padang Serai).
Perjanjian itu turut melibatkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat parti pada 2024 selepas mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.
Dua hari lalu, Anwar menjelaskan bahawa peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang boleh disalurkan menerusi CSA, sebagaimana pendekatan yang pernah digunakan ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam perkembangan berkaitan, blok kerajaan kini mempunyai 149 Ahli Parlimen, merangkumi Pakatan Harapan (PH) dengan 75 kerusi, Barisan Nasional (BN) sebanyak 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 23 kerusi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan tujuh kerusi.
Turut menyokong kerajaan ialah tiga Ahli Parlimen Warisan serta masing-masing seorang wakil Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Lapan Ahli Parlimen bebas juga berada dalam blok kerajaan, termasuk enam bekas wakil Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran Anwar.
Sementara itu, blok pembangkang terdiri daripada PAS dengan 43 kerusi, Bersatu (19), Wawasan (enam) dan Muda (satu).
Empat kerusi Parlimen ketika ini kosong susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli bagi kawasan Pandan, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Dengan 218 Ahli Parlimen aktif, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 110 sokongan untuk memperoleh majoriti mudah, manakala majoriti dua pertiga memerlukan 146 sokongan.










