PKR Dakwa MCA Diketepikan, Keputusan Calon BN Dibuat Tanpa Rundingan

KUALA LUMPUR: Pertikaian pengagihan kerusi dan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mencetuskan persoalan mengenai amalan permuafakatan dalam gabungan itu apabila MCA didakwa tidak diberi ruang sewajarnya untuk berunding.

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin, berkata keputusan secara sepihak tanpa perbincangan bersama parti komponen bercanggah dengan prinsip demokrasi dan semangat kerjasama politik.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, setiap parti dalam gabungan perlu diberi peluang menyuarakan pandangan sebelum keputusan penting dimuktamadkan.

Menurutnya, pendekatan Pakatan Harapan (PH) menerusi Majlis Presiden dan sekretariat gabungan membolehkan parti komponennya berbincang serta mencari persetujuan bersama.

Perkembangan itu menyusul selepas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menegaskan parti itu tidak akan mengiktiraf calon BN yang diumumkan tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi MCA.

BN sebelum ini mengumumkan calon bagi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk penyandang Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem, dan penyandang Kelebang, Datuk Lim Ban Hong, yang mewakili MCA.

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini menyatakan isu berkenaan akan dibincangkan, dengan ruang rundingan masih terbuka sementara proses pengesahan watikah calon belum selesai.

Terbaharu, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memaklumkan isu agihan kerusi MCA sudah diselesaikan menerusi rundingan, manakala kerjasama parti itu dalam BN akan terus diperhalusi dan ditambah baik.

BBerkaitan

Latest articles