Jangan Politikkan Isu Pelarian Myanmar, Kerajaan Sedang Cari Penyelesaian

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu berunding secara langsung dengan kepimpinan Myanmar bagi menyelesaikan isu pelarian negara itu di Malaysia, bukannya menjadikan pertemuan dengan pemimpin junta tentera berkenaan sebagai modal politik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata rundingan dua hala penting bagi menangani pelbagai masalah termasuk kesesakan depoh tahanan imigresen yang kini melebihi kapasiti.

Menurutnya, depoh yang mampu menampung 20,000 tahanan kini menempatkan lebih 23,000 orang, sekali gus meningkatkan risiko masalah kesihatan, pergaduhan dan kos pengurusan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Kerajaan akan meneruskan rundingan dengan Myanmar berhubung pelaksanaan kumpulan kedua susulan keputusan mahkamah yang membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar meneruskan perbincangan sehingga terdapat keputusan sebaliknya.

Saifuddin berkata, pendekatan diplomatik membolehkan kedua-dua negara mengemukakan pandangan sebelum tindakan susulan ditentukan.

Sebelum ini, Pas mempersoalkan keputusan kerajaan menerima kunjungan rasmi pemimpin junta Myanmar, Min Aung Hlaing, pada 7 dan 8 Oktober lalu ketika negara itu masih berdepan konflik bersenjata, krisis kemanusiaan dan dakwaan pencabulan hak asasi manusia.

Sementara itu, Saifuddin berkata permohonan Majlis Peguam untuk membekukan atau menangguhkan sementara langkah penghantaran berkenaan ditolak mahkamah, manakala semakan kehakiman ditetapkan pada 8 Disember ini.

BBerkaitan

Latest articles