Kerajaan Usaha Tingkat Gaji Jurutera Muda Elak Hijrah Ke Luar Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha meningkatkan daya tarikan kerjaya kejuruteraan di Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) dan semakan skala bayaran perkhidmatan perunding kejuruteraan bagi menangani penghijrahan graduan serta jurutera muda ke luar negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan menyedari tawaran gaji lebih kompetitif di luar negara menjadi cabaran dalam mengekalkan bakat kejuruteraan tempatan.

Beliau berkata, kerajaan komited menghubungkan pembangunan kompetensi dengan peluang kemajuan kerjaya, pekerjaan bernilai tinggi serta ganjaran yang setimpal.

“Antara langkah dan usaha menangani isu ini adalah dengan melaksanakan Dasar Gaji Progresif (DGP).

“Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama badan profesional teknikal binaan mengambil langkah menggalakkan penglibatan majikan dalam dasar ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai langkah kerajaan menangani penghijrahan graduan dan jurutera muda ke luar negara akibat tawaran gaji lebih kompetitif, selain sasaran dasar bagi memastikan peningkatan kompetensi diterjemahkan kepada pendapatan setimpal di Malaysia.

Alexander berkata, pendekatan DGP menyediakan mekanisme menghubungkan peningkatan keupayaan pekerja dengan penambahbaikan gaji, termasuk bagi jurutera muda yang memenuhi syarat.

Menurutnya, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) melalui KKR turut mengkaji dan merangka cadangan semakan Notifikasi Skala Bayaran LJM 1998 bagi memastikan nilai perkhidmatan perunding kejuruteraan lebih seimbang dengan kepakaran serta tanggungjawab profesional yang dipikul.

Bagaimanapun, beliau berkata komitmen majikan diperlukan bagi memastikan manfaat peningkatan nilai perkhidmatan itu turut disalurkan kepada pembangunan dan kebajikan tenaga kerja.

Bagi tempoh 2026 hingga 2030, Alexander berkata, LJM menetapkan hala tuju strategik berteraskan empat teras utama, termasuk mewujudkan Sistem Bakat Kejuruteraan Kebangsaan, memperkukuh pengiktirafan kepakaran dan membangunkan ekosistem kejuruteraan yang bersedia menghadapi keperluan industri masa hadapan.

Katanya, usaha itu dijangka menyediakan laluan pembangunan kerjaya lebih jelas, sekali gus meningkatkan prospek kemajuan profesional dan daya tarikan untuk jurutera muda terus berkhidmat di Malaysia.

“Dalam menjawab isu penghijrahan bakat, hala tuju dasarnya ialah menjadikan kerjaya kejuruteraan di Malaysia lebih menarik melalui kemajuan kerjaya dan pendapatan yang sepadan dengan kompetensi serta tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kemahiran perlu disokong oleh permintaan terhadap kepakaran, amalan ganjaran berasaskan produktiviti serta keupayaan majikan menawarkan gaji kompetitif.

Katanya, gabungan langkah berkenaan diharap dapat memperkukuh pengekalan jurutera muda dan memastikan pelaburan dalam pembangunan kompetensi turut memberikan manfaat ekonomi kepada golongan profesional itu.

BBerkaitan

Latest articles