KDN Sahkan Shuhaily Dikembalikan Ke PDRM

PUTRAJAYA: Penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berakhir apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk mengembalikannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat minggu lalu, manakala penempatan baharu Mohd Shuhaily akan ditentukan oleh pihak polis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Peringkat KDN Tahun 2026, hari ini.

Mengulas mengenai pengganti Mohd Shuhaily, Saifuddin berkata perkara itu akan ditentukan oleh pihak berkaitan.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata status perkhidmatan Mohd Shuhaily di AKPS dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum keputusan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan bagi tindakan selanjutnya.

Mohd Khalid turut menjelaskan bahawa penugasan Mohd Shuhaily di AKPS dibuat melalui mekanisme peminjaman daripada PDRM untuk tempoh dua tahun.

Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 1 Julai 2025 bagi tempoh sehingga 30 Jun 2027.

BBerkaitan

Latest articles