KUALA LUMPUR: Aktivis politik, Chegubard akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mendapati beliau bersalah dalam kes membabitkan dua video yang didakwa telah disunting.
Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin berkata, proses perundangan bagi kes berkenaan masih belum selesai dan rayuan akan dikemukakan menerusi peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau mendakwa kes itu pada awalnya ditolak oleh mahkamah pada peringkat pendakwaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, selepas proses rayuan, mahkamah mengarahkan kes itu diteruskan ke peringkat pembelaan di Mahkamah Sesyen.
Menurutnya, pada peringkat pembelaan, beliau mengemukakan keterangan bagi menunjukkan video terbabit telah disunting.
Beliau turut mempersoalkan keputusan hakim yang sama yang sebelum ini menolak kes pada peringkat pendakwaan, namun akhirnya menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya.
Chegubard berkata, hukuman yang dikenakan terhadapnya bagi kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Akta 574) itu antara yang terbesar dalam sejarah perundangan negara.
Bagaimanapun, dakwaan berhubung hukuman dan perjalanan kes itu adalah berdasarkan kenyataan beliau di media sosial.
Beliau mengakhiri hantaran berkenaan dengan menyatakan keyakinan bahawa proses rayuan akan diteruskan, selain memetik ungkapan Hasbunallahu wa ni’mal wakil yang membawa maksud cukuplah Allah sebagai penolong dan sebaik-baik pelindung.










