KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat tender pembekalan makanan bermasak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bernilai kira-kira RM1.32 bilion.
Beliau berkata, pendedahan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat mengenai 18 perusahaan yang disyaki terbabit dalam kartel tipuan bida menunjukkan isu pakatan sulit dalam perolehan kerajaan perlu diberikan perhatian.
Armizan sebelum ini memaklumkan MyCC mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 18 perusahaan pada 13 Oktober lalu berhubung dakwaan mengatur harga bidaan bagi 30 tender pembekalan makanan dan perkhidmatan pembersihan bernilai RM108.3 juta.
Menurut Wan Saiful, antara bukti yang ditemukan MyCC termasuk penyediaan dokumen tender secara berpusat, perkongsian maklumat harga bidaan serta perkongsian kewangan dan sumber manusia antara perusahaan terbabit.
“Ini kata kerajaan sendiri. Maknanya, pakatan sulit dalam tender makanan memang wujud dan sedang disiasat.
“Saya tidak kata kes MyCC ini melibatkan tender KPM. Saya maklum bahawa ini adalah kes berbeza.
“Tetapi soalan saya mudah. Adakah tender KPM RM1.32 bilion ini boleh diperiksa dengan cara yang sama? Bolehkah MyCC turut menumpukan perhatian kepada pendedahan saya sebelum ini?” katanya menerusi kenyataan.
Isnin lalu, Wan Saiful mendedahkan beberapa perkara berhubung tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) KPM Fasa Dua Tahun 2026 bagi tempoh 2027 hingga 2029.
Antara perkara dibangkitkan ialah pemberian kontrak bernilai besar kepada syarikat perusahaan, latar belakang syarikat yang didakwa tidak berkaitan dengan bidang makanan, alamat pendaftaran yang sama, modal syarikat serta keputusan tender Kolej Vokasional (KV) Krian yang didakwa hilang daripada senarai.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pendedahan itu bukan tuduhan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya perkara yang mempunyai asas untuk diteliti.
Sebagai langkah susulan, Wan Saiful berkata, beliau akan menghantar surat kepada Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, bagi memohon siasatan terhadap KPM berhubung tender berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan memaklumkan MyCC turut menyiasat 510 syarikat yang disyaki terbabit dalam kegiatan tipuan bida, melibatkan tender bernilai lebih RM3 bilion dalam sektor awam dan swasta.










