Dua Jam Tunggu Rider Hantar Barang, Wanita Terkejut Terima Perkhabaran Maut

PETALING JAYA: Penantian seorang wanita selama hampir dua jam untuk menerima barangan bertukar pilu apabila dia dimaklumkan penghantar yang ditunggunya maut dalam kemalangan, hari ini.

Kisah menyayat hati itu dikongsikan pengguna Threads, Fathinaleya, yang pada awalnya tertanya-tanya apabila penghantar berkenaan tidak memberi sebarang maklum balas, selain pergerakannya seolah-olah terhenti.

Lebih mengejutkan, wanita itu kemudian menerima panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan penghantar terbabit mengalami kemalangan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Weh aku dah dua jam tunggu rider ni, lepas tu pelik kenapa tak ada respons dan tak gerak. Lepas tu kawan telefon dan ada orang angkat, cakap rider ni kemalangan dan meninggal tempat kejadian.

“Tolong siapa kenal rider ni. Dia tengah cari waris,” katanya.

Menerusi tangkap layar perbualan yang dikongsikan, penghantar itu dikenal pasti sebagai Muhammad Helmie Muhammad Termizi, dengan nombor pendaftaran motosikal bermula huruf D, dipercayai dari Kelantan.

Hantaran itu mengundang rasa simpati orang ramai, termasuk pengguna yang menyifatkan mangsa sebagai individu yang merantau demi mencari rezeki halal.

“Plat D, merantau jauh-jauh nak cari rezeki halal,” tulis seorang pengguna, manakala seorang lagi memaklumkan kejadian itu turut dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp penghantar.

Seorang pengguna Threads lain pula mendakwa kemalangan berlaku di Lebuhraya Baru Pantai (NPE), di laluan Sunway menghala ke Pantai Dalam.

Kisah itu mengundang sebak apabila penantian seorang pelanggan yang pada mulanya sekadar tertanya-tanya akhirnya bertukar menjadi berita kehilangan nyawa, sekali gus mengingatkan orang ramai tentang risiko yang dihadapi penghantar ketika mencari rezeki.

BBerkaitan

Latest articles