KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan manusia yang mengabaikan petunjuk Allah SWT dan menyalahgunakan amanah sebagai antara punca kerosakan alam serta kehidupan manusia.
Menerusi ruangan Minda Presiden PAS bertajuk Awas! Manusia Makhluk Perosak, beliau berkata, Allah SWT mendedahkan dalam al-Quran bahawa terdapat manusia yang menjadi perosak alam semesta walaupun diberikan amanah untuk mentadbirnya.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 72 yang menjelaskan bahawa amanah ditawarkan kepada langit, bumi dan gunung-ganang, sebelum dipikul oleh manusia yang disifatkan sebagai zalim dan jahil.
Menurutnya, kerosakan berlaku apabila manusia mengubah ketetapan Allah SWT atau mencipta peraturan sendiri yang tidak diizinkan-Nya, sekali gus menjejaskan keseimbangan alam dan membawa kepada kemusnahan.
“Allah bukan sahaja Pencipta alam, malah termasuk juga Pentadbir dengan peraturan dan undang-undang mengikut fitrah kejadian setiap makhluk yang berbeza peranan dan sifat kejadiannya,” katanya.
Abdul Hadi berkata, golongan yang melakukan kerosakan itu merangkumi pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pemimpin negara, raja, pembesar, ulama, golongan cerdik pandai, media dan rakyat.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku apabila manusia meninggalkan petunjuk Allah SWT yang disampaikan oleh para nabi dan rasul melalui kitab yang diwahyukan.
Menurutnya, pemimpin yang mempunyai kuasa dan pengaruh besar antara golongan yang boleh membawa kemudaratan besar kepada kehidupan manusia serta alam sekitar apabila menyalahgunakan kedudukan mereka.
Beliau turut mengemukakan kisah Firaun dan Namrud sebagai contoh pemimpin yang melampaui batas, melakukan kezaliman serta menentang seruan para nabi.
Dalam penulisannya, Abdul Hadi turut mengingatkan golongan ulama supaya tidak menyalahgunakan ilmu agama demi kepentingan dan kesenangan hidup.
Katanya, golongan berilmu yang mengkhianati amanah dengan menyembunyikan kebenaran atau menyesatkan masyarakat termasuk dalam golongan yang mendapat kemurkaan Allah SWT.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 174 yang memberi amaran terhadap mereka yang menyembunyikan apa yang diturunkan Allah melalui kitab-Nya dan menjualnya dengan harga yang murah.
Selain itu, beliau menyifatkan golongan hartawan dan bangsawan yang menyalahgunakan pengaruh serta kekayaan sebagai antara pihak yang boleh menyumbang kepada kerosakan masyarakat.
Abdul Hadi turut memberi perhatian kepada peranan media dalam menyebarkan maklumat, khususnya menerusi perkembangan teknologi tanpa sempadan.
Menurutnya, media boleh menjadi alat untuk menyebarkan kebaikan, namun pada masa sama berpotensi menyebarkan kebatilan, pembohongan dan penipuan yang merosakkan kefahaman masyarakat.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6 yang menyeru orang beriman supaya menyelidik sesuatu berita dengan teliti bagi mengelakkan tindakan yang boleh membawa penyesalan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pengikut yang menerima arahan pemimpin tanpa menilai kebenarannya juga boleh menjadi sebahagian daripada pihak yang menyumbang kepada kerosakan.
Katanya, manusia perlu menggunakan akal dan ilmu yang dikurniakan Allah SWT serta tidak menjadikan ketaatan kepada pemimpin sebagai alasan untuk melakukan perbuatan yang diketahui salah.
Beliau turut menyentuh golongan munafik yang menurutnya berpura-pura beriman, mengkhianati amanah dan bertindak bertentangan dengan kepercayaan yang dizahirkan.
Bagi menjelaskan perkara itu, beliau memetik hadis Rasulullah SAW yang menyatakan tiga tanda munafik, iaitu berbohong apabila bercakap, memungkiri janji dan mengkhianati amanah.
Abdul Hadi berkata, peringatan berkenaan perlu dijadikan iktibar supaya manusia tidak menyalahgunakan kuasa, ilmu, kekayaan dan pengaruh sehingga membawa kerosakan kepada masyarakat serta alam sekitar.










