Pemandu Mabuk Mungkin Diperintah Bayar Pampasan Kepada Waris Mangsa

KUALA LUMPUR: Pemandu yang disabitkan kesalahan serius akibat memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah mungkin diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa atau waris sekiranya pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya sedang mencadangkan pindaan kepada akta berkenaan bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris yang sah dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian atau kecederaan serius.

Menurutnya, kerajaan mempertimbangkan supaya jumlah pampasan ditentukan mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes, bukannya ditetapkan secara pentadbiran.

“Kerajaan telah mempertimbangkan supaya amaun pampasan tidak ditetapkan secara pentadbiran sebaliknya ditentukan oleh mahkamah untuk memerintahkan pesalah yang disabitkan atas kesalahan serius di bawah Akta 333 membayar pampasan kepada mangsa atau waris berdasarkan fakta dan merit setiap kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai hasil rundingan dengan Jabatan Peguam Negara berhubung mekanisme pembayaran pampasan atau diyat kepada waris mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk.

Anthony berkata, penentuan jumlah pampasan akan mengambil kira beberapa faktor, termasuk tahap kecederaan atau kematian, kerugian yang dialami serta kemampuan pesalah untuk membayar.

Katanya, kerajaan turut meneliti kaedah pembayaran dan penguatkuasaan perintah pampasan sekiranya pesalah tidak mempunyai aset atau kemampuan kewangan mencukupi.

Menurutnya, perkara itu penting bagi memastikan mekanisme pampasan yang diwujudkan bukan sahaja mempunyai asas undang-undang, malah benar-benar memberi manfaat kepada mangsa dan waris.

“Kementerian Pengangkutan akan terus bekerjasama dengan agensi dan kementerian yang berkenaan bagi memperhalusi mekanisme pampasan tersebut sebelum Rang Undang-Undang dimuktamadkan dan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan memandang serius kebajikan mangsa dan waris yang terjejas akibat kemalangan jalan raya disebabkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, terutama apabila kejadian mengakibatkan kematian, kecederaan serius atau kehilangan punca pendapatan keluarga.

Anthony berkata, kerajaan komited memastikan keadilan kepada keluarga mangsa tidak terhenti pada hukuman terhadap pesalah, sebaliknya turut mengambil kira kesan ekonomi dan sosial yang ditanggung keluarga akibat kehilangan orang tersayang atau sumber pendapatan.

Bagaimanapun, mekanisme pampasan itu masih dalam peringkat penelitian dan perlu diperhalusi sebelum rang undang-undang berkaitan dimuktamadkan serta dibentangkan di Parlimen.

BBerkaitan

Latest articles