Pegang MyKad Puluhan Tahun Pun Boleh Disiasat Semula

KUALA LUMPUR: Pemilikan MyKad biru selama puluhan tahun tidak menjadi asas tunggal untuk menentukan status kewarganegaraan seseorang apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesan percanggahan maklumat atau ketidakaturan dalam rekod asal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya JPN menerima aduan atau mengesan keraguan terhadap rekod seseorang, termasuk kemungkinan berlaku penipuan atau pemalsuan identiti.

Beliau berkata, setiap kes perlu diteliti berdasarkan fakta dan bukti, termasuk rekod kelahiran, pendaftaran kad pengenalan, dokumen kewarganegaraan serta dokumen sokongan lain sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Penilaian dibuat berdasarkan fakta dan bukti kes, bukan sekadar tempoh pemegangan dokumen diri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) yang meminta penjelasan mengenai tindakan segera kerajaan menyelesaikan kes rakyat Malaysia yang sudah memiliki MyKad biru selama puluhan tahun, tetapi disiasat semula status kewarganegaraan sehingga menjejaskan pekerjaan, pendidikan dan urusan harian.

Menurut Saifuddin, pengeluaran MyKad dilaksanakan berdasarkan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) serta Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN 1990).

Katanya, individu juga perlu hadir secara fizikal ke JPN untuk menjalani pengesahan biometrik cap jari bagi memastikan rekod dalam pangkalan data jabatan itu sepadan dengan pemilik sebenar kad pengenalan.

Bagi kes yang mempunyai percanggahan maklumat, JPN akan menjalankan siasatan dan pengesahan mengikut prosedur undang-undang sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, individu yang mendapati terdapat ketidakaturan maklumat boleh memohon pembetulan, termasuk terhadap maklumat dalam sijil kelahiran, mengikut prosedur ditetapkan.

Sekiranya status kewarganegaraan masih perlu ditentukan, permohonan rasmi melalui saluran undang-undang yang bersesuaian perlu dikemukakan sebelum urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri diteruskan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, JPN mengambil maklum bahawa proses semakan status boleh memberi kesan langsung terhadap kehidupan individu, khususnya membabitkan pekerjaan, pendidikan, rawatan kesihatan dan urusan perbankan.

“Sehubungan itu, keutamaan diberikan kepada kes-kes kritikal ini berdasarkan ketelitian fakta dan dokumen, tanpa menjejaskan keperluan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, JPN turut memperkukuh mekanisme semakan, padanan maklumat dan keselamatan data biometrik bagi memastikan setiap keputusan dibuat dengan tepat serta berintegriti.

Tambahnya, individu yang dokumen pengenalan dirinya ditarik balik akibat maklumat tidak tepat masih boleh mengemukakan permohonan baharu berdasarkan fakta kes melalui saluran dan prosedur yang sah.

Kerajaan, katanya, akan terus memastikan integriti sistem pendaftaran negara dipelihara, selain menggesa individu merujuk segera kepada JPN sekiranya terdapat kesilapan atau percanggahan maklumat dalam dokumen pengenalan diri mereka.

BBerkaitan

Latest articles