Kerajaan Kaji Insurans E-hailing Ikut Jarak Perjalanan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji penambahbaikan struktur perlindungan insurans dan takaful e-hailing, termasuk cadangan pengiraan premium berdasarkan jarak perjalanan serta tahap risiko pemandu bagi mengurangkan kos yang ditanggung golongan berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pemain industri insurans dan takaful serta persatuan pemandu e-hailing bagi meneliti cadangan penambahbaikan ekosistem perlindungan berkenaan.

Menurutnya, kerajaan komited memastikan perlindungan insurans e-hailing dilaksanakan secara adil, telus dan mampan, selain menjaga kebajikan pemandu dalam ekosistem ekonomi gig.

“Bagi mencapai tujuan ini, Kementerian Pengangkutan sedang bekerjasama dengan pihak Bank Negara Malaysia, APAD, JPJ, serta wakil-wakil pemain industri e-hailing, insurans dan takaful, serta persatuan pemandu e-hailing untuk mengenal pasti dan meneliti cadangan-cadangan penambahbaikan terhadap ekosistem, skop dan struktur perlindungan insurans e-hailing bagi jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab soalan Tuan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai mekanisme kerajaan menangani kenaikan premium insurans dan takaful e-hailing, termasuk langkah menyelaraskan pengendali insurans dengan platform perkhidmatan serta memperkukuh perlindungan sosial pemandu.

Anthony berkata, BNM turut menubuhkan Pasukan Petugas Khas Inter-Agensi (IATF) bagi mengkaji dan mengesyorkan penyelesaian untuk mengurangkan kos insurans kepada pemandu e-hailing serta meneliti pembaharuan dalam ekosistem insurans dan takaful berkenaan.

Antara cadangan yang sedang diteliti ialah memperkenalkan perlindungan insurans atau takaful berdasarkan tahap penggunaan kenderaan, termasuk jarak perjalanan bagi setiap kilometer, serta risiko pemandu.

Selain itu, kerajaan turut meneliti mekanisme perkongsian risiko dan kos antara syarikat pengendali platform perkhidmatan e-hailing (EHO), pemandu dan penumpang.

Cadangan lain termasuk meningkatkan perkongsian data antara pengendali platform dengan syarikat insurans dan takaful bagi menyokong pengesahan tuntutan serta membolehkan penilaian risiko dilakukan dengan lebih baik.

Penggunaan teknologi telematik bagi menggalakkan tingkah laku pemanduan lebih selamat dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya turut menjadi antara perkara yang dipertimbangkan.

Dalam pada itu, Anthony menjelaskan bahawa perlindungan insurans bagi kenderaan yang digunakan di jalan raya kekal diwajibkan di bawah Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

Katanya, ketetapan itu bertujuan memastikan perlindungan keselamatan tersedia sekiranya berlaku kemalangan yang melibatkan pemandu, penumpang atau pihak ketiga, termasuk kecederaan dan kerosakan harta benda.

Mengenai perlindungan keselamatan sosial pemandu e-hailing pula, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4], Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 [Akta 789] dan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872].

Beliau berkata, undang-undang berkenaan ditadbir urus dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

BBerkaitan

Latest articles