INDONESIA: Indonesia menggesa jemaah umrahnya menggunakan penerbangan tempatan secara terus ke Arab Saudi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penerbangan asing yang memerlukan transit di Malaysia dan Singapura.
Timbalan Menteri Haji Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak, berkata langkah itu berpotensi merangsang ekonomi negara berkenaan apabila lebih ramai jemaah menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan tempatan.
Menurut laporan Jakarta Globe, kira-kira 70,000 jemaah Indonesia transit di Malaysia dan Singapura ketika dalam perjalanan menunaikan umrah menggunakan penerbangan asing.
“Jika kita boleh mendapatkan 70,000 orang yang transit menerusi Malaysia dan Singapura beralih kepada penerbangan Indonesia, ini akan membantu ekonomi negara kita,” katanya.
Indonesia, yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia, menerima kira-kira dua juta jemaah umrah setiap tahun, sekali gus menawarkan pasaran besar kepada industri penerbangan tempatan.
Bagaimanapun, Dahnil mengakui hasrat itu memerlukan peningkatan mutu perkhidmatan syarikat penerbangan nasional, Garuda Indonesia, serta syarikat swasta Lion Group.
Kedua-dua syarikat juga perlu menawarkan tambang yang kompetitif bagi menarik lebih ramai jemaah memilih penerbangan tempatan berbanding syarikat penerbangan asing.
Gesaan itu hadir ketika Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berusaha memperkukuh ekonomi domestik dan mengutamakan kepentingan negara, termasuk melalui langkah mengurangkan eksport gas asli ke Singapura bagi meningkatkan bekalan tenaga tempatan.










