Kemelut Agihan Kerusi BN-MCA Capai Perkembangan Positif – Ab Rauf

MELAKA: Kemelut agihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan MCA menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat semakin menemui jalan penyelesaian apabila rundingan kedua-dua pihak menunjukkan perkembangan positif.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata perbincangan bersama MCA berjaya merungkai kebuntuan yang sebelum ini menjejaskan hubungan kedua-dua parti.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada MCA untuk mengumumkan sendiri hasil rundingan berkenaan, selain enggan mendedahkan butiran perbincangan buat masa ini.

“Bagi saya, perbincangan itu positif. Kita berjaya meleraikan kebuntuan yang selama ini menimbulkan masalah.

“Kita tunggu MCA sendiri mengumumkan hasil rundingan yang sudah dibincangkan. Saya tidak boleh mendedahkannya terlebih dahulu,” katanya selepas melancarkan jentera pilihan raya BN bagi Parlimen Masjid Tanah, malam tadi.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kemungkinan MCA menarik diri daripada PRN Melaka pada 14 November ini tidak dibangkitkan dalam pertemuannya dengan pemimpin parti itu.

Bagaimanapun, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menegaskan kenyataan Zahid yang menggambarkan rundingan itu mencapai perkembangan positif dibuat terlalu awal, memandangkan belum ada sebarang persetujuan dimuktamadkan.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan susulan berhubung pendirian MCA akan dibincangkan dan ditentukan secara bersama oleh kepimpinan pusat parti.

Ketegangan antara kedua-dua pihak tercetus selepas pemimpin MCA dilaporkan meninggalkan majlis pengumuman calon BN bagi PRN Melaka sebagai tanda tidak berpuas hati terhadap pembahagian kerusi.

MCA mendakwa kerusi yang ditandingi parti itu sebelum ini diberikan kepada parti lain tanpa rundingan sewajarnya, sekali gus mencetuskan pertikaian dalam gabungan berkenaan menjelang pilihan raya negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles