Mauritius Pintu Masuk Strategik Usahawan India Malaysia Tembusi Pasaran Afrika

KUALA LUMPUR: Mauritius boleh menjadi pintu masuk strategik kepada usahawan India Malaysia untuk meneroka pasaran Afrika menerusi kemudahan perdagangan, sistem kewangan pelbagai mata wang serta rangkaian perjanjian perdagangan yang dimilikinya.

Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia, Rabin Gungoo berkata, kedudukan negara itu sebagai hab kewangan dan perdagangan membolehkan usahawan India Malaysia menggunakan negara kepulauan itu sebagai platform untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran Afrika dan rantau lain.

Beliau berkata, Mauritius menerima pelbagai mata wang, sekali gus memudahkan urusan perdagangan antara peniaga Malaysia dengan rakan niaga di negara berkenaan sebelum meneroka pasaran lebih luas di benua Afrika.

“Bagi peniaga Malaysia yang mahu meneroka pasaran Afrika, Mauritius ialah batu loncatan terbaik.

“Peniaga Malaysia boleh bekerjasama dengan peniaga Mauritius untuk menembusi pasaran Afrika, selain memanfaatkan kemudahan perdagangan yang tersedia,” katanya pada sidang media selepas berucap pada Festival Beli-belah BRICS ASEAN Deepavali 2026 di KL Sentral, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Presiden Dewan Perniagaan BRICS-ASEAN, Thayalan Nathan dan Pengerusi Penganjur Festival Beli-belah BRICS ASEAN Deepavali 2026, D.P. Ganaa.

Gungoo berkata, Mauritius turut mempunyai hubungan perdagangan dengan negara anggota Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan Pasaran Bersama bagi Afrika Timur dan Selatan (COMESA), sekali gus membuka peluang kepada pelabur untuk memanfaatkan akses pasaran di rantau berkenaan.

Menurutnya, usahawan India Malaysia juga boleh mempertimbangkan Mauritius sebagai pangkalan operasi bagi mengembangkan perniagaan, termasuk melalui kemudahan zon perdagangan bebas, insentif pelaburan serta penyediaan kawasan khusus untuk aktiviti perindustrian.

Beliau berkata, Mauritius turut mempunyai kerangka perundangan dan kewangan yang menyokong urusan perniagaan, termasuk aspek kawal selia, pembayaran serta operasi korporat.

Selain itu, katanya, negara berkenaan mempunyai kepakaran dalam industri gula, termasuk teknologi pemprosesan dan kejuruteraan, yang kini turut dieksport ke beberapa negara Afrika.

Gungoo berkata, potensi Mauritius bukan sahaja tertumpu kepada perdagangan dan pelaburan, malah sektor pelancongan serta ekonomi biru berikutan kedudukan strategiknya di Lautan Hindi.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia melawat Mauritius dan meneroka peluang perniagaan di negara berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Mauritius dijadual menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Perdagangan Amerika Syarikat-Afrika pada 15 hingga 17 Disember ini, yang dijangka menghimpunkan ahli perniagaan dan pemimpin dari kedua-dua rantau berkenaan.

Terdahulu, ketika berucap pada festival berkenaan, Gungoo menyifatkan Deepavali sebagai perayaan yang membawa mesej penting mengenai kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan, cahaya mengatasi kegelapan serta harapan mengatasi keputusasaan.

Beliau berkata, perayaan itu bukan sekadar tradisi menyalakan pelita, menghias rumah dan berkumpul bersama keluarga, sebaliknya turut mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan nilai belas kasihan, keharmonian, keamanan dan sikap saling membantu.

Menurutnya, mesej Deepavali amat relevan dalam dunia hari ini yang berdepan konflik, diskriminasi, penyebaran maklumat salah serta pelbagai cabaran alam sekitar.

“Dunia bukan sahaja memerlukan kemajuan teknologi, malah turut memerlukan belas kasihan, kefahaman, kejujuran dan manusia yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat menjadikan Deepavali sebagai ruang untuk melakukan refleksi diri, memperkukuh hubungan kekeluargaan serta mengetepikan perasaan negatif seperti kemarahan, kebencian dan kecemburuan.

Gungoo berkata, sambutan perayaan itu juga perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengurangkan pembaziran, mengelakkan penggunaan bunga api secara berlebihan serta memastikan kebersihan persekitaran terpelihara.

Pada masa sama, beliau berkongsi pengalaman sambutan Deepavali di Mauritius yang mempunyai tradisi hampir sama dengan masyarakat India di Malaysia, termasuk penyediaan juadah tradisional dan amalan berkongsi makanan dengan saudara-mara.

Beliau turut memuji usaha penganjur festival berkenaan dalam memelihara budaya, tradisi dan nilai masyarakat India, sambil menyifatkan warisan itu sebagai unsur penting yang membentuk identiti serta rasa kepunyaan dalam kalangan masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles