KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang menubuhkan Orang Asli Corporation (ORACO) bagi membantu Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperkasa pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli di negeri itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan ORACO merupakan antara usaha kerajaan negeri memastikan kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian, khususnya dalam meningkatkan pendapatan mereka.
Menurutnya, Pahang mempunyai kira-kira 95,000 masyarakat Orang Asli daripada keseluruhan 224,000 orang di seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan memastikan masyarakat itu tidak terpinggir, termasuk melalui pelbagai inisiatif bagi memperkukuh penglibatan mereka dalam pentadbiran serta pembangunan negeri.
“Kerajaan negeri mendapati JAKOA sahaja tidak memadai. Jadi, kita menubuhkan satu lagi anak syarikat kerajaan negeri yang boleh membantu masyarakat Orang Asli, terutamanya dari segi pembangunan ekonomi.
“Tugas ORACO adalah untuk memudahkan dan membantu JAKOA dalam melaksanakan usaha pembangunan masyarakat Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Town Hall Rakyat Bersama Menteri Besar Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian malam tadi.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut memastikan masyarakat Orang Asli mendapat ruang dalam pentadbiran, termasuk pelantikan seorang senator daripada komuniti berkenaan.
Katanya, jawatan Pengarah JAKOA di Pahang juga diberikan kepada individu daripada kalangan masyarakat Orang Asli, selain seorang pegawai khas Menteri Besar yang turut mewakili komuniti itu.
Menurutnya, kerajaan negeri juga memastikan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) diberikan portfolio bagi menjaga hal ehwal masyarakat Orang Asli.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan perumahan menerusi Rumah Rakyat Pahang secara percuma kepada golongan yang layak, termasuk masyarakat Orang Asli.
Katanya, bantuan pendidikan turut diberikan menerusi Yayasan Pahang, termasuk latihan dalam bidang pendidikan dan agama bagi membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat berkenaan.
“Ramai dalam kalangan mereka yang mengikuti latihan di Pahang berupaya menjadi bilal dan imam selepas tamat pengajian,” katanya.
Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan komputer kepada anak-anak masyarakat Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau swasta (IPTS).
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah membantu masyarakat Orang Asli mendapatkan manfaat ekonomi daripada kawasan ladang yang sebelum ini diteroka secara haram dengan meminta ORACO mengambil alih pengurusan berkaitan.
Menurutnya, usaha berkenaan menunjukkan kesan positif apabila pendapatan sebahagian masyarakat Orang Asli yang sebelum ini sekitar RM300 sebulan meningkat kepada antara RM900 hingga lebih RM2,000.
“Ini antara usaha yang kita lakukan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat Orang Asli di negeri Pahang dan alhamdulillah, kita melihat perkembangan yang positif,” katanya.










