Pahang Sasar Sifarkan Peneroka Felda Tanpa Geran Hak Milik

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pahang menyasarkan untuk menyelesaikan baki isu hak milik tanah peneroka Felda di negeri itu bagi memastikan semua peneroka mendapat suratan hak milik masing-masing.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini sebanyak 95.5 peratus daripada keseluruhan 43,126 peneroka Felda di negeri itu telah menerima suratan hak milik tanah masing-masing, sekali gus mencatatkan pencapaian tertinggi di Malaysia.

Menurutnya, baki kes yang belum diselesaikan kebanyakannya melibatkan masalah pewarisan yang sebahagiannya berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri.

“Daripada 43,126 peneroka Felda di Pahang ini, kita telah memberikan mereka suratan hak milik sebanyak 95.5 peratus, yang tertinggi di Malaysia.

“Yang masih berbaki itu adalah masalah warisan dan ada kalanya kes berkenaan di luar keupayaan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, kita sedang menguruskannya dan insya-ALLAH, kita mahu sifarkan isu suratan hak milik ini supaya semua peneroka mendapatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Town Hall Rakyat Bersama Menteri Besar Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian, malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, Pahang mempunyai 115 rancangan Felda melibatkan tiga wilayah iaitu Mempaga, Jengka dan Jerantut, sekali gus menjadikan pengurusan pembangunan serta kebajikan peneroka sebagai antara perkara yang diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, usaha memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara turut mengambil kira keperluan generasi kedua dan ketiga Felda, khususnya dalam aspek pemilikan tanah serta penyediaan tapak kediaman.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah mewartakan 16,000 lot menerusi Skim Tanah Rakyat Felda (STRF) bagi menyediakan tapak perumahan kepada generasi seterusnya.

Katanya, langkah berkenaan merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk memastikan generasi kedua dan ketiga Felda mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, beliau turut membangkitkan cadangan supaya Akta Felda dipinda bagi membolehkan generasi kedua dan ketiga membina rumah di tapak asal keluarga mereka.

Menurutnya, cadangan itu dibawa ketika beliau mewakili kerajaan negeri dalam Mesyuarat Tanah Negara dan telah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun Akta Felda mengatakan tidak boleh membuat rumah di tapak asal, kita telah bangkitkan supaya akta itu diubah bagi membolehkan generasi kedua dan ketiga membina rumah di tapak asal mereka.

“Alhamdulillah, perkara ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan Felda terus memberi manfaat kepada peneroka dan generasi pewaris mereka.

BBerkaitan

Latest articles