KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyemak 213 keputusan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Fasa 2 Tahun 2026 yang bernilai kira-kira RM1.32 bilion.
Beliau turut menggesa KPM menangguhkan 31 keputusan tender yang belum diumumkan sementara semakan dilaksanakan.
Dalam sidang media di Parlimen, beliau berkata sebanyak 214 keputusan telah disenaraikan, tetapi satu daripadanya, iaitu tender Rumah Perlindungan Wanita Johor bernilai RM856,440, bukan di bawah KPM. Jumlah nilai 213 keputusan KPM ialah RM1,318,810,111.56 dengan purata RM6.19 juta setiap kontrak.
Katanya, nilai kontrak tertinggi ialah RM38.7 juta dan terendah RM1.13 juta, iaitu jurang kira-kira 34 kali ganda, manakala 53 kontrak bernilai RM10 juta ke atas dengan jumlah RM722.3 juta atau 54.8 peratus daripada keseluruhan nilai.
Wan Saiful berkata beliau menyedari nilai kontrak berbeza mengikut kategori sekolah dan bilangan murid, tetapi KPM perlu menjelaskan jurang yang besar antara kontrak tertentu.
Beliau juga menyorot 25 syarikat penerima yang namanya membayangkan bidang di luar makanan, termasuk sekuriti, kawalan perosak, autocar, pembinaan, kejuruteraan, plastik dan perkhidmatan alam sekitar, dengan jumlah kontrak kira-kira RM113.5 juta atau 8.6 peratus.
Mengenai alamat perniagaan, beliau berkata lebih 100 penerima beralamat seperti rumah, kampung atau pangsapuri, manakala kira-kira 70 jelas beralamat premis komersial. Beliau menegaskan pendaftaran di alamat kediaman bukan sesuatu yang semestinya mencurigakan, tetapi KPM perlu menjelaskan bagaimana kemudahan dapur dan kapasiti operasi disahkan.
Berhubung keupayaan kewangan, Wan Saiful mengira purata kontrak memerlukan kira-kira RM258,000 sebulan bagi tempoh 24 bulan, dan sekitar RM774,000 jika bayaran tertangguh tiga bulan. Beliau berkata 65 kontrak melebihi RM300,000 sebulan, dan meminta KPM mendedahkan bagaimana baki akaun, modal berbayar dan aliran tunai pembida dinilai.
Beliau turut menyentuh dakwaan kemungkinan wujudnya perantara atau kartel dalam proses tender itu, tetapi menegaskan ia belum terbukti dan perlu disiasat berdasarkan bukti.
Beliau turut mempersoalkan satu keputusan yang diumumkan dalam senarai sebelumnya tetapi tiada dalam senarai terkini, serta satu syarikat Terengganu yang memperoleh tender sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Wan Saiful berkata semakan SPRM harus merangkumi dokumen penilaian, kelayakan kewangan, pertindihan pengarah dan alamat, serta corak penyertaan tender.
Beliau menegaskan tuntutan itu bukan bertujuan menghukum mana-mana pihak sebelum sesuatu dibuktikan, sebaliknya memastikan wang awam dibelanjakan secara telus.










