KUALA LUMPUR: Rundingan kerusi bagi Wawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuat menerusi Perikatan Nasional (PN), dengan ruang pertukaran kerusi penyandang antara gabungan itu dan Barisan Nasional (BN) berdasarkan keadaan tertentu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Wawasan berhasrat bertanding sebagai sebahagian daripada PN, justeru segala urusan termasuk rundingan pembahagian kerusi dan penggunaan logo dikendalikan menerusi gabungan itu.
Beliau berkata, perkara berkaitan agihan kerusi turut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam.
Menurutnya, prinsip yang dipersetujui PN dan BN ialah calon penyandang perlu diberi peluang mempertahankan kerusi masing-masing, namun pertukaran kerusi masih boleh dilakukan atas sebab tertentu.
Kenyataan itu menyusul pertikaian berhubung kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, selepas bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, mendakwa keputusan BN bertanding di kawasan itu menunjukkan gabungan berkenaan menolak Wawasan sebagai rakan pilihan raya.
Puad turut membangkitkan kemungkinan persaingan antara kedua-dua pihak berlanjutan hingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), melibatkan 19 kerusi Parlimen yang disandang parti berkenaan.
BN pada Sabtu mengumumkan akan bertanding di 21 kerusi DUN pada PRN Melaka, termasuk Sungai Udang yang bakal ditandingi Datuk Rais Yasin, Timbalan Ketua UMNO Melaka.
Rais sebelum ini menyandang kerusi DUN Paya Rumput yang dimenanginya pada PRN Melaka 2021.
Sementara itu, penyandang Sungai Udang, Dr Aleef Yusof yang kini bersama Wawasan selepas meninggalkan Bersatu, menyifatkan keputusan BN meletakkan calon di kawasan itu sebagai tindakan membuli PAS dan PN.
Pada PRN 2021, Aleef memenangi kerusi berkenaan atas tiket PN dengan majoriti 530 undi, menewaskan tiga calon lain termasuk Mohamad Ali Mohamad daripada BN, yang kini bersama Bersatu.










