Dua Wartawan Terbabit Kemalangan Akan Terima Bantuan Tabung Kasih@HAWANA

KUALA LUMPUR: Dua wartawan yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Menglembu, Perak, ketika dalam perjalanan menjalankan tugas pagi tadi bakal menerima bantuan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sedang menguruskan penyaluran bantuan kepada wartawan agensi itu, Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Md Arif, 37.

Beliau berkata, kedua-dua pengamal media berkenaan sudah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, dan tidak mengalami kecederaan serius.

“Saya mendoakan agar kedua-duanya dipermudah segala urusan dan kembali pulih seperti sediakala,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kereta Perodua Bezza dinaiki kedua-dua wartawan berkenaan dilanggar dari belakang oleh sebuah lori ketika berhenti di lampu isyarat di Menglembu, Jalan Ipoh-Lumut.

Mereka dalam perjalanan ke Bagan Datuk bagi membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif kebajikan bagi membantu pengamal media, bekas wartawan dan wartawan veteran yang berdepan masalah kesihatan, ditimpa musibah atau memerlukan bantuan kewangan.

BBerkaitan

Latest articles