KUALA LUMPUR: DAP diminta tidak menjadi batu api dengan mencampuri kemelut agihan kerusi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya menumpukan perhatian kepada masalah dalaman Pakatan Harapan (PH) sendiri.
Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, berkata BN mempunyai mekanisme tersendiri untuk menyelesaikan isu berkenaan tanpa campur tangan pihak luar.
Beliau turut menggesa DAP menjelaskan percanggahan berhubung spekulasi kemungkinan persefahaman pilihan raya dengan Bersatu, meskipun PH Melaka menegaskan gabungan itu akan bertanding secara solo pada 14 November ini.
“DAP tak payah jadi batu api dalam hal ini, sebaliknya patut fokus kepada isu dalaman mereka, khususnya perang mulut antara pemimpin mereka,” katanya memetik FMT.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, mencabar MCA keluar daripada BN sepenuhnya, manakala Setiausaha Pemuda DAP, Lim Chun Weng, menggesa parti itu bertanding menggunakan logo sendiri.
Gesaan itu menyusul tindakan pemimpin MCA meninggalkan majlis pengumuman calon BN bagi PRN Melaka malam tadi sebagai tanda bantahan terhadap isu agihan kerusi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan, menegaskan partinya tidak memerlukan DAP untuk mengajar mereka mempertahankan prinsip atau menentukan hala tuju politik.
Beliau turut mempersoalkan sama ada DAP sanggup keluar daripada PH dan bertanding menggunakan logo sendiri sekiranya tidak bersetuju dengan kemungkinan kerjasama bersama Bersatu.
Mike berkata tindakan MCA meninggalkan majlis itu merupakan mesej tegas bahawa keputusan mengenai kerusi yang ditandingi parti berkenaan tidak boleh dibuat secara sepihak tanpa rundingan dan persetujuan kepimpinannya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemelut dalam BN perlu diselesaikan melalui saluran dalaman bagi memastikan semangat muafakat antara parti komponen tidak terjejas.










