MELAKA: Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan sasaran untuk merampas pentadbiran Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada lima yang dimenangi pada 2021.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, mengakui usaha menawan semula negeri itu bukan sesuatu yang mudah, justeru gabungan berkenaan memilih pendekatan lebih realistik dengan memberi keutamaan kepada kerusi yang berpotensi dimenangi.
Beliau berkata, PH perlu memperkukuh sokongan pengundi di kawasan sasaran berbanding meletakkan harapan untuk menguasai keseluruhan negeri.
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) menguasai 21 kerusi, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Adly yang juga Naib Presiden Amanah berkata, kemungkinan berlakunya DUN tergantung tidak boleh diketepikan, sekali gus membuka ruang kepada pembentukan kerajaan campuran seperti di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, langkah UMNO menjalinkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRN kali ini menunjukkan parti itu turut mengambil kira kemungkinan landskap politik yang memerlukan kerjasama antara gabungan.
Dalam usaha menambah kerusi, Adly menegaskan PH perlu meraih lebih 30 peratus undi Melayu bagi meningkatkan peluang memenangi kawasan yang dijangka menyaksikan persaingan sengit.
Katanya, sokongan sekitar 20 peratus mungkin membolehkan PH menambah beberapa kerusi sahaja, manakala kegagalan mencapai paras itu boleh menyebabkan gabungan berkenaan kehilangan kerusi yang dimenangi sebelum ini.
Malah, beliau mengakui kerusi DUN Bukit Katil yang disandangnya turut berdepan risiko pada PRN akan datang.
Adly kini berusaha mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal ketiga. Bukit Katil merupakan kawasan campuran dengan pengundi Melayu membentuk 65 peratus daripada keseluruhan pengundi, diikuti Cina sebanyak 29.7 peratus dan India 4.26 peratus.
Beliau pertama kali memenangi kerusi itu pada PRU 2018 dengan majoriti 3,159 undi sebelum mempertahankannya pada 2021, namun dengan majoriti yang merosot kepada 1,057 undi.
Dalam perkembangan berkaitan, Adly berpandangan PH tidak perlu menamakan seorang tokoh sebagai poster boy atau wajah utama gabungan itu bagi menghadapi PRN Melaka.
Sebaliknya, beliau berkata strategi PH adalah memastikan setiap calon memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mempertahankan dan memenangi kerusi masing-masing.
Menurutnya, pelantikan poster boy tidak membawa makna sekiranya calon lain gagal meraih kemenangan, malah keadaan itu lebih merugikan jika tokoh yang diketengahkan sendiri tidak mampu mempertahankan kerusinya.
Adly turut menjelaskan perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam PH, sekali gus menegaskan bahawa keutamaan gabungan itu adalah kemenangan di setiap kawasan yang ditandingi.
Beliau pernah menjadi Ketua Menteri Melaka dari 2018 hingga 2020 sebelum pentadbiran PH tumbang susulan perubahan politik yang turut menyaksikan kejatuhan kerajaan gabungan itu di peringkat Persekutuan.










