Sultan Selangor Tegur Ahli Politik, Muak Politik Kaum Dan Agama

KUALA LUMPUR: Ahli politik di Selangor perlu menghentikan permainan politik keterlaluan yang mencetuskan perpecahan, sebaliknya memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat, pembangunan ekonomi dan keharmonian masyarakat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda turut berasa muak dengan kegiatan politik yang berlebihan sehingga gagal membawa manfaat kepada rakyat.

“Seperti rakyat, Beta juga sudah muak,” titah baginda dalam temu bual khas bersama Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai, sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.

Baginda menegaskan isu kaum dan agama tidak seharusnya dijadikan senjata politik, manakala institusi diraja perlu dijauhkan daripada sebarang pertikaian kepartian.

Menurut Sultan Sharafuddin, keharmonian Selangor terbina daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya yang hidup bersama serta berkongsi kemakmuran sejak sekian lama.

Walaupun perbezaan pendapat dan persaingan politik merupakan sebahagian daripada demokrasi, baginda mengingatkan bahawa perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menjejaskan hubungan antara kaum dan agama.

“Jangan cuba menjadi jaguh atau batu api. Fikir sebelum bercakap dan sentiasa berhati-hati,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan pemimpin supaya lebih berhemah ketika mengeluarkan kenyataan, khususnya di media sosial yang mampu menyebarkan sesuatu mesej kepada jutaan orang dalam masa singkat.

Katanya, kata-kata yang tidak bertanggungjawab boleh mencetuskan ketegangan, menyemarakkan prasangka dan merosakkan kepercayaan antara masyarakat.

Dalam wawancara sama, Sultan Sharafuddin turut menyuarakan kekecewaan terhadap salah urus Lembaga Tabung Haji (TH), sambil menegaskan dana yang dikumpulkan bagi tujuan keagamaan perlu diurus dengan penuh amanah dan akauntabiliti.

Baginda bertitah, TH diwujudkan untuk membantu umat Islam membuat simpanan bagi menunaikan ibadah haji di Makkah, justeru salah urus serta dakwaan penyelewengan tidak sepatutnya berlaku.

Baginda menegaskan prinsip pengurusan bertanggungjawab itu turut terpakai kepada dana untuk rumah ibadat pelbagai agama dan rumah anak yatim.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa kepelbagaian masyarakat merupakan kekuatan utama Selangor yang menyumbang kepada kestabilan, kemakmuran dan keyakinan pelabur.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua pemimpin politik supaya mendahulukan kepentingan rakyat, menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman.

Baginda menegaskan semangat kesederhanaan dan sikap saling menghormati perlu terus dipertahankan bagi memastikan perpaduan masyarakat Selangor kekal utuh.

BBerkaitan

Latest articles