AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) Melaka mempertaruhkan lapan muka baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan mengekalkan penyandang di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan calon baharu itu dibuat bagi memastikan kesinambungan khidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, sebahagian penyandang tidak lagi mahu meneruskan khidmat, selain BN memberi ruang kepada calon baharu berdasarkan kajian yang dilakukan parti.
“Saya tidak menggugurkan, sebab apa? Dewan telah dibubarkan.
“Jadi, kita memilih calon-calon baharu yang boleh meneruskan perkhidmatan kepada rakyat tempatan. Ada yang tidak mahu lagi meneruskan jawatan dan kita memberikan ruang kepada muka baharu untuk terus memberikan perkhidmatan kepada kawasan-kawasan yang telah kita buat kajian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon BN Melaka di Ayer Keroh, malam tadi.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Melaka berkata, secara keseluruhan, gabungan itu akan bertanding di 21 kerusi DUN, manakala tujuh kerusi diperuntukkan kepada rakan strategik.
Antara calon baharu yang diumumkan ialah Ahmad Norazila Abd Aziz di Rembia, S Nadarajah di Gadek, Siti Aisyah Mahmood di Pengkalan Batu, Datuk Azman Abdullah di Serkam dan Jezlee Pit di Sungai Rambai.
Di kawasan Tangga Batu pula, Datuk Rais Datuk Wira Yassin berpindah dari DUN Paya Rumput ke Sungai Udang, manakala Datuk Lim Ban Hong dikekalkan di Klebang.
Dalam senarai calon itu, Ab Rauf turut dikekalkan di DUN Tanjung Bidara, manakala beberapa penyandang lain yang disenaraikan termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang dikekalkan dicalonkan semula bagi mempertahankan DUN Merlimau, Datuk Rosli Abdullah di Kuala Linggi, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer di Ayer Limau dan Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid di Lendu
Turut dikekalkan, ialah Datuk Zulkiflie Mohd Zain di Taboh Naning, Datuk Ngwe Hee Sem di Machap Jaya, Datuk Mustafa Musa di Durian Tunggal, Datuk Fairul Nizam Roslan di Asahan serta Datuk Rais Yasin di Sungai Udang.
Selain itu, Datuk Tuminah Kadi dikekalkan di Pantai Kundor, Datuk Lim Ban Hong di Klebang, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali di Ayer Molek dan Datuk Mohd Moor Helmy Abd Halem di Duyong.
Senarai itu turut menyaksikan Datuk Abd Razak Abd Rahman dikekalkan di Telok Mas, Datuk Khaidirah Abu Zahar di Rim dan Datuk Azman Abdullah di Serkam, manakala calon baharu turut diketengahkan di beberapa kerusi yang sebelum ini disandang wakil BN.
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf berkata, MCA akan terus bertanding di dua kerusi yang dimenanginya sebelum ini, qq/2. manakala MIC kekal dengan satu kerusi.
Mengulas mengenai kemungkinan berlaku pertindihan kerusi dengan rakan strategik, beliau berkata, rundingan pembahagian kerusi telah dimuktamadkan dengan BN bertanding di 21 kerusi dan rakan strategiknya di tujuh kerusi.
“Kenapa perlu ada pertindihan? Tak perlu bertindih.
“Kita telah sampai ke peringkat memuktamadkan segala bentuk rundingan yang mana kita mempertaruhkan 21 kerusi dan memberikan ruang tujuh kerusi kepada rakan strategik. Saya tak nampak ada masalah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan manifesto BN Melaka akan dilancarkan seminggu selepas hari penamaan calon, dengan merangkumi aspek ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan serta sosioekonomi.
Sementara itu, Ab Rauf menegaskan BN akan menggunakan pendekatan kempen yang sihat tanpa menyebarkan fitnah, hasutan atau kebencian terhadap pihak lawan.
Menurutnya, parti itu akan memberi tumpuan kepada rekod perkhidmatan dan usaha yang dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran bagi membolehkan rakyat menilai pencapaiannya.
“Kita tak menceritakan jahat orang untuk baik kita. Kita tak memikirkan buruk orang untuk nampak kita elok.
“Kita membuat kerja yang terbaik kerana rakyat menilai daripada apa yang kita buat,” katanya.
Beliau turut menegaskan senarai calon BN yang diumumkan telah dimuktamadkan selepas mengambil kira pelbagai aspek dan tidak akan berubah, kecuali jika berlaku keadaan yang tidak dapat dielakkan.










