PAS Nafi Sepentas Dengan BN Umum Calon PRN Melaka

KOTA BHARU: PAS menafikan akan berkongsi pentas dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengumumkan calon masing-masing untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus memperlihatkan percanggahan kenyataan antara pemimpin parti berhubung perkara itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada 28 atau 29 Oktober ini, iaitu pada minggu terakhir sebelum hari penamaan calon.

“Setakat ini tidak. Kita akan umum pada minggu-minggu akhir, sama ada 28 atau 29 hari bulan,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, menurut laporan Sinar Harian.

Kenyataan itu berbeza dengan pengumuman Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam yang memaklumkan kedua-dua pihak akan berada di pentas sama bagi mengumumkan calon masing-masing esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Zahid berkata, BN akan mengumumkan calon bagi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PAS bersama rakan-rakannya akan mengumumkan calon bagi tujuh kerusi yang diperuntukkan kepada mereka.

Bagaimanapun, kedudukan agihan kerusi itu turut menimbulkan persoalan apabila Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebelum ini menegaskan rundingan berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, perbincangan mengenai agihan kerusi serta kerjasama dengan BN akan terus diperincikan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS sebelum ini memberi ruang kepada BN untuk mengumumkan calon terlebih dahulu sebelum parti itu membuat pengumumannya sendiri.

Beliau menegaskan, keutamaan ketika ini adalah memastikan kerjasama antara parti yang terlibat berjalan lancar sepanjang PRN Melaka.

BBerkaitan

Latest articles