Baki Pendapatan Golongan B40 Semakin Menyusut, Hanya Tinggal 1.8 Peratus

KUALA LUMPUR: Kesejahteraan isi rumah di Malaysia menunjukkan peningkatan dari segi ekonomi dan sosial, namun tekanan kos sara hidup terus menghimpit golongan berpendapatan rendah apabila baki pendapatan mereka semakin mengecil.

Laporan terbaharu Khazanah Research Institute (KRI), From Income to Wellbeing: The State of Households 2026, mendedahkan isi rumah dalam kumpulan 10 peratus terbawah hanya mempunyai baki 1.8 peratus daripada pendapatan kasar selepas menampung perbelanjaan penggunaan pada 2024.

Keadaan itu menunjukkan kemerosotan ketara berbanding 10.8 peratus pada 2019, sekali gus mengehadkan keupayaan golongan berkenaan untuk menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Menurut laporan itu, baki pendapatan tersebut juga belum mengambil kira bayaran lain seperti cukai, kiriman wang kepada isi rumah lain dan bayaran balik pinjaman yang boleh mengurangkan lagi wang untuk simpanan.

KRI dalam kenyataan pada Jumaat berkata, laporan edisi keenam itu menilai kesejahteraan isi rumah secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek ekonomi, sosial, kesihatan dan faktor lain, selain pendapatan serta perbelanjaan.

Walaupun kesejahteraan rakyat secara keseluruhan menunjukkan perkembangan positif, kemajuan itu tidak dinikmati secara sama rata oleh semua isi rumah.

Laporan berkenaan mendapati pendapatan median bulanan isi rumah meningkat kepada RM7,017 pada 2024, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.1 peratus sejak 2022.

Kadar penyertaan tenaga buruh turut meningkat kepada 70.6 peratus pada 2024 berbanding 69.3 peratus pada 2022 dan 68.7 peratus pada 2019.

Bagaimanapun, peningkatan pendapatan itu berlaku seiring dengan kenaikan perbelanjaan isi rumah yang median bulanannya mencecah RM4,758 pada 2024.

Perbelanjaan isi rumah meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 5.3 peratus bagi tempoh 2022 hingga 2024, berdasarkan nilai nominal.

Antara 2019 hingga 2024, perbelanjaan bagi isi rumah dalam kumpulan 70 peratus terbawah taburan pendapatan meningkat secara kumulatif lebih daripada 15 peratus, manakala perbelanjaan kumpulan 10 peratus teratas hampir tidak berubah.

Bagi kumpulan 10 peratus terbawah, peningkatan perbelanjaan lebih ketara apabila melonjak sebanyak 21.3 peratus dalam tempoh sama.

Dalam pada itu, pemusatan aktiviti ekonomi di kawasan bandar turut menyumbang kepada ketidaksamaan pendapatan dan peluang pekerjaan.

KRI memaklumkan pertumbuhan perniagaan sebahagian besarnya tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur, yang mencatatkan median upah lebih tinggi berbanding wilayah lain.

Pada 2024, median upah pekerja di bandar ialah RM2,851 berbanding RM1,698 di luar bandar.

Pendapatan median isi rumah luar bandar pula hanya mencapai 56.4 peratus daripada pendapatan median isi rumah bandar.

Laporan itu turut mendapati hampir separuh atau 46.2 peratus isi rumah di Malaysia menetap di 22 daripada 166 daerah yang mencatatkan pendapatan median melebihi paras nasional RM7,017.

Sebaliknya, sebanyak 111 daerah merekodkan kadar kemiskinan melebihi kadar nasional iaitu 5.1 peratus.

Perbezaan tersebut menunjukkan lokasi tempat tinggal dan tumpuan aktiviti ekonomi memainkan peranan penting dalam menentukan pendapatan serta peluang yang tersedia kepada isi rumah.

Menurut KRI, peningkatan pendapatan dan akses kepada kemudahan asas tidak semestinya menjamin tahap kesejahteraan atau kebahagiaan yang lebih tinggi.

Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia menunjukkan kesejahteraan ekonomi dan sosial terus meningkat sejak 2000, manakala Skor Indeks Kebahagiaan Malaysia meningkat daripada 6.48 pada 2021 kepada 7.60 pada 2024.

Dari segi kemudahan asas, hampir 100 peratus isi rumah mempunyai akses kepada bekalan air paip terawat, elektrik dan telekomunikasi pada 2024.

Sebanyak 97.8 peratus isi rumah pula berada dalam lingkungan lima kilometer dari kemudahan kesihatan awam, manakala 98.7 peratus berada pada jarak sama dari sekolah rendah dan 95.9 peratus dari sekolah menengah.

Bagaimanapun, faktor kesihatan dan gaya hidup turut mempengaruhi kesejahteraan rakyat.

Pada 2024, purata perbelanjaan bulanan isi rumah untuk makan di luar ialah RM902.70, mengatasi perbelanjaan makanan di rumah sebanyak RM875.80.

Sementara itu, 54.4 peratus penduduk dewasa Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes pada 2023, selain tahap aktiviti fizikal yang menurun antara 2019 hingga 2023.

Laporan itu turut mengetengahkan cabaran berkaitan penuaan penduduk, jurang gender dan kualiti pekerjaan.

Isi rumah yang diketuai individu berusia lebih 65 tahun mencatatkan pendapatan median sedikit melebihi separuh daripada median nasional, manakala prevalens penyakit tidak berjangkit meningkat seiring pertambahan usia.

Penyertaan tenaga buruh wanita juga kekal lebih rendah berbanding lelaki, khususnya di kawasan luar bandar yang mungkin mempunyai peluang pekerjaan formal lebih terhad dan kurang sesuai dengan tanggungjawab penjagaan.

Jurang upah antara lelaki dan wanita turut berterusan sepanjang usia bekerja.

Sehubungan itu, laporan berkenaan mengetengahkan kepentingan perkhidmatan penjagaan yang mudah diakses, menyeluruh dan berpatutan bagi membantu menangani cabaran penuaan penduduk serta tanggungjawab menjaga ahli keluarga.

Selain kadar upah, kualiti pekerjaan juga mempengaruhi kesejahteraan, termasuk keadaan guna tenaga tidak penuh apabila pekerja melakukan pekerjaan yang tidak setaraf dengan kemahiran atau kelayakan mereka.

Peluang pekerjaan formal pula lebih tertumpu di bandar, manakala pekerjaan tidak formal lebih banyak ditemui di luar bandar.

KRI berpandangan liputan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh dapat membantu mengurangkan risiko yang dihadapi pekerja.

Kesejahteraan isi rumah turut terdedah kepada risiko luar negara, khususnya gangguan bekalan makanan yang boleh menyebabkan kenaikan harga atau kekurangan bekalan.

Malaysia mengimport sebahagian besar bekalan makanan daripada beberapa negara pembekal, termasuk hampir tiga perempat bekalan daging lembu dari India dan dua pertiga bekalan sayur dari China.

Kesan kenaikan harga makanan dijangka lebih dirasai golongan berpendapatan rendah kerana perbelanjaan makanan merangkumi 38.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan isi rumah dalam kumpulan 10 peratus terbawah.

Sebagai perbandingan, makanan menyumbang 24.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan bagi kumpulan 10 peratus teratas.

Keadaan itu menyebabkan isi rumah berpendapatan rendah mempunyai ruang kewangan yang lebih terhad untuk menghadapi kenaikan harga tanpa mengurangkan perbelanjaan lain, menggunakan simpanan atau beralih kepada makanan lebih murah.

Secara keseluruhan, KRI menegaskan kesejahteraan isi rumah di Malaysia semakin baik pada peringkat nasional, namun perbezaan demografi, lokasi, akses kepada peluang dan pendedahan kepada risiko mempengaruhi sejauh mana kemajuan ekonomi dapat diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih sejahtera.

Laporan yang diketuai Pengarah Bersekutu Penyelidikan KRI, Dr Rachel Gong itu bertujuan menyediakan dapatan dan analisis bagi menyokong perbincangan mengenai dasar, pembangunan dan kesejahteraan isi rumah.

BBerkaitan

Latest articles